Beza angka RM4.8 bilion TH bukan bukti audit gagal atau berlaku penyelewengan – Madinah

KUALA LUMPUR – Perbezaan hampir RM4.8 bilion antara kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang diaudit Jabatan Audit Negara (JAN) dengan hasil Financial Position Review oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) tidak boleh terus dianggap sebagai bukti audit terdahulu gagal atau berlakunya penyelewengan.

Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata perbezaan tersebut berpunca daripada mandat, objektif, skop dan metodologi berbeza yang digunakan JAN dan PwC dalam melaksanakan penilaian masing-masing.

Menurutnya, penyata kewangan TH yang diaudit JAN menunjukkan keuntungan bersih sekitar RM3.4 bilion, manakala Financial Position Review PwC melaporkan kedudukan defisit atau kerugian sekitar RM1.4 bilion.

“Perbezaan ini disebabkan oleh perbezaan metodologi dan kaedah dalam pengiktirafan rosot nilai aset dan penilaian pelaburan, khususnya berkaitan syarikat subsidiari, syarikat bersekutu dan aset pelaburan,” katanya ketika berucap dalam sebuah forum mengenai isu Tabung Haji.

Madinah menjelaskan JAN menjalankan audit statutori berdasarkan Akta Audit 1957 dan Akta Tabung Haji 1995 dengan objektif memberikan pendapat sama ada penyata kewangan memberikan gambaran benar dan saksama mengikut Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) yang berkuat kuasa ketika itu, khususnya MFRS 139.

Sebaliknya, PwC menjalankan Financial Position Review, iaitu penugasan khas berdasarkan terms of reference berbeza dan menggunakan pendekatan lebih luas terhadap kedudukan kewangan TH, termasuk kaedah pengiktirafan rosot nilai yang berbeza daripada audit statutori.

Justeru, katanya, perbezaan dapatan kedua-dua laporan tidak semestinya menunjukkan salah satu pihak telah melakukan kesilapan.

Madinah turut membangkitkan penggunaan panduan perakaunan yang dirujuk sebagai FRSC 14 dalam semakan PwC.

Menurut beliau, berdasarkan dokumen yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), terdapat pandangan profesional berbeza mengenai kesesuaian penggunaannya dalam konteks TH.

Beliau berkata surat Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Institute of Accountants (MIA) menjelaskan panduan tersebut bukan MFRS yang mempunyai kuasa mandatori seperti piawaian pelaporan kewangan yang diluluskan Malaysian Accounting Standards Board (MASB).

Sebaliknya, katanya, ia merupakan consensus guidance bagi membantu aplikasi piawaian dalam keadaan tertentu.

“It’s not mandatory dalam statutory audit for us to use FRSC 14,” katanya.

Madinah berkata isu yang perlu dilihat bukan sama ada panduan tersebut wujud atau tidak, tetapi sama ada penggunaannya merupakan satu-satunya tafsiran yang boleh diterima dalam konteks sebuah badan berkanun seperti TH.

“Berdasarkan dokumen yang ada, isu tersebut merupakan perbezaan tafsiran perakaunan, accounting treatment, bukannya isu ketidakpatuhan yang nyata terhadap piawaian audit,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan perbezaan antara laporan JAN dan PwC perlu difahami sebagai perbezaan metodologi dan objektif penugasan, bukannya terus ditafsirkan sebagai bukti bahawa proses audit JAN gagal atau tidak mengesan masalah kewangan TH.

Madinah turut menegaskan sesuatu pendapat audit perlu dinilai berdasarkan bukti audit, piawaian perakaunan serta piawaian audit yang berkuat kuasa ketika audit dilaksanakan dan bukan berdasarkan maklumat atau perkembangan yang hanya diketahui selepas itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat