KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad meluahkan rasa terkilan apabila beliau yang telah disapina untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), akhirnya tidak dipanggil masuk untuk memberikan keterangannya.
Madinah berkata, beliau hadir selepas menerima sapina dan menunggu di luar bilik prosiding RCI sekitar 45 minit hingga sejam sebelum dimaklumkan bahawa keterangannya tidak diperlukan.
“Saya terkilan kerana saya dah disapina, dah pergi duduk di depan pintu bilik RCI.
“Lepas itu urus setia keluar dan cakap, ‘Tan Sri tak perlu masuk. Tan Sri boleh balik’.
“Saya kata kenapa? … Tak ada jawapan. Sampai hari ini tak ada jawapan kenapa saya tak dipanggil,” katanya ketika berucap dalam sebuah forum mengenai isu Tabung Haji.
Madinah berkata perkara itu menimbulkan persoalan kerana beliau merupakan Ketua Audit Negara yang menandatangani sijil audit TH yang kemudiannya menjadi antara perkara yang diperhalusi RCI.
“Saya yang menandatangani sijil audit tersebut.
“Laporan RCI kata Ketua Audit Negara tidak tegas,” katanya.
Menurut Madinah, sekiranya beliau dipanggil memberikan keterangan, RCI sekurang-kurangnya berpeluang mendengar penjelasan beliau mengenai pertimbangan yang dibuat ketika memuktamadkan laporan audit berkenaan.
“Tapi maksudnya kalau saya memberi penerangan, sekurang-kurangnya you hear my side of the story and mungkin you won’t say saya tak tegas,” katanya.
Bagaimanapun, Madinah menegaskan beliau tetap menghormati penubuhan RCI dan laporan yang telah dikeluarkan.
“Saya terkilan. Saya masih hormati RCI. Saya tidak ada… it’s water under the bridge.
“Jadi hanya saya harap dengan penjelasan pada hari ini, tuan-tuan dan puan-puan dan rakyat mendapat gambaran yang sebenarnya.
“Tiada berselindung, tiada fakta diputarbelitkan,” katanya.
Terdahulu, Madinah menjelaskan pasukan Jabatan Audit Negara pada peringkat teknikal pada asalnya mencadangkan supaya sijil berteguran dikeluarkan terhadap penyata kewangan TH bagi 2017 selepas mengenal pasti isu berkaitan rosot nilai aset.
Bagaimanapun, beliau selaku Ketua Audit Negara ketika itu akhirnya memutuskan supaya sijil bersih dengan penekanan perkara atau Emphasis of Matter (EOM) dikeluarkan.
Menurutnya, keputusan itu merupakan pertimbangan profesional dengan mengambil kira kepentingan negara dan risiko terhadap keyakinan pendeposit sekiranya sijil berteguran dikeluarkan.
Madinah turut menegaskan penggunaan EOM tidak bermaksud isu yang dikenal pasti disembunyikan atau tidak dikesan, sebaliknya perkara berkenaan tetap diketengahkan melalui mekanisme yang diperuntukkan dalam piawaian audit.



