KUALA PILAH – Sekumpulan Dato Batin dan anak buah Orang Asli di Jajahan Luak Johol menyatakan ikrar untuk mempertahankan Undang Luak Johol serta memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan tindakan yang didakwa bertentangan dengan Adat Perpatih.
Pendirian itu dinyatakan menerusi satu dokumen bertajuk “Sumpah Setia Orang Asli” yang turut menyuarakan rasa marah dan kecewa terhadap perkembangan berkaitan institusi adat di Luak Johol.
“Kami Dato Batin serta anak buah Jajahan Luak Johol berasa marah dan kecewa kenapa Adat Perpatih diperlakukan sebegini.
“Kami mahu mana-mana pihak berhentikan melakukan perkara yang bertentangan dengan adat seperti hendak menggulingkan Dato Undang yang sah serta melantik Dato-Dato Lembaga yang tidak mengikut aturan adat Luak Johol,” menurut dokumen berkenaan.
Kumpulan itu turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa mengingkari pendirian Dato Batin dan anak buah mereka.
“Kami memberi amaran akan membuat sesuatu untuk memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingkar dengan amaran Dato Batin dan anak-anak buah kami,” menurut dokumen itu.
Bagaimanapun, dokumen berkenaan tidak memperincikan bentuk tindakan yang dimaksudkan.
Ikrar mempertahankan Undang Johol itu muncul ketika krisis institusi adat Negeri Sembilan masih berlarutan dan menyaksikan kedudukan beberapa Undang serta pembesar adat menjadi pertikaian dan berubah dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Krisis itu tercetus secara terbuka apabila Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang Undang Luak Sungei Ujong.
Mubarak bersama beberapa penyandang dan pembesar adat kemudiannya membawa pertikaian berkenaan ke mahkamah.
Selain Mubarak, tindakan itu turut melibatkan Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tuanku Syed Idrus Al-Qadri dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.
Kemelut berkenaan kemudiannya turut menyaksikan perubahan kepimpinan di Luak Rembau apabila Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 pada 27 Jun lalu, menggantikan kedudukan Abdul Rahim yang sebelum itu dilaporkan sebagai Undang Luak Rembau.
Susulan perkembangan itu, kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Rembau turut diarahkan dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.
Pada 31 Julai, DKU mengiktiraf Hassan sebagai Undang Luak Rembau yang sah mengikut adat luak berkenaan selain mengiktiraf Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Dalam persidangan sama, DKU turut menerima keputusan adat yang memecat Maarof sebagai Undang Luak Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023 dan memutuskan jawatan berkenaan kosong.
DKU turut mengambil maklum pelucutan Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid daripada jawatan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong mengikut adat berkuat kuasa 30 Julai lalu.
Perkembangan itu menjadikan Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah antara penyandang utama yang kekal di tengah-tengah pertikaian berhubung krisis institusi adat Negeri Sembilan.
Muhammed sebelum ini bersama Mubarak, Maarof, Abdul Rahim dan beberapa pembesar adat lain memfailkan tindakan mahkamah bagi mendapatkan salinan minit Sidang Khas DKU 17 April yang menjadi antara titik penting tercetusnya kemelut berkenaan.



