KUALA LUMPUR: Bukan hanya bakatnya mengagumkan, malah pelakon berpengalaman, Khatijah Tan tidak meletakkan harga rendah bagi membintangi filem epik, Saadiah: Bekal Kasih Merdeka arahan Ellie Suriaty.
Penerbit Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh mendedahkan terkejut dengan kerendahan hati Khatijah yang tidak meletakkan harga tinggi meskipun pernah menerima pelbagai penghargaan dan anugerah.
“Saya terkejut apabila Khatijah letak harga rendah. Saya dan Ellie saling memandang.
“Jadi mengenangkan bakat dan penghargaan kepada Khatijah, saya ‘tutup mata’ dan berikan harga lain lebih baik.
“Apatah lagi, Khatijah menghidupkan keseluruhan cerita dalam filem ini. Awalnya, Khatijah meletakkan sejumlah harga kerana fikir ini adalah projek telefilem dan tidak masuk panggung, namun ini adalah naskhah berskala besar.
“Khatijah masuk set dengan banyak babak penuh air mata, jadi saya beritahu Ellie untuk menambah bayaran lakonan selepas tiga hari penggambaran,” katanya kepada BH Online.

Bersesuaian tanggungjawab dan komitmen diberikan Khatijah, Ayu berkata, pihaknya sudah berbincang memberikan bayaran setimpal.
“Sememangnya, bakat lakonan dimiliki tidak boleh dibeli dengan duit. Saya ingatkan Khatijah akan letak harga ‘potong kepala’ selepas membaca skrip, namun beliau bukan seperti segelintir pelakon lain.
“Khatijah teruja kerana ini projek filem epik, apatah lagi memegang watak utama sebagai Saadiah.
“Kalau diikutkan, Khatijah memang bintang utama filem ini. Beliau bukan memberikan lakonan sikit-sikit, sebaliknya ‘roh’ untuk filem ini.
“Apabila tengok babak lakonannya, membuatkan saya rasa kagum. Memang bakat Khatijah adalah kurniaan Allah,” katanya.

Seterusnya, Ayu berkata, dia terpegun dengan persembahan dan komitmen diberikan Khatijah menerusi filem terbitannya itu.
“Saya sangat berpuas hati. Kali pertama saya mengambil Khatijah berlakon, saya sudah jatuh cinta dengannya.
“Beliau juga tidak ‘diva’ dan mudah memberikan kerjasama. Begitu juga dengan pelakon lain. Alhamdulillah,” katanya.
Filem Saadiah : Bekal Untuk Merdeka diinspirasikan daripada kisah balu anggota polis, Saadiah Abdullah yang menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak selama 37 tahun sebagai mengenang arwah suaminya, Allahyarham Alias Nik Daud yang meninggal dunia pada 1975 dalam serangan hendap pengganas komunis ketika bertugas sebagai jurupandu bot di balai itu.
Filem itu turut dibintangi Azrel Ismail, Kaka Azraff dan Faizal Hussein dan bakal ditayangkan di pawagam, tahun depan.
Berita Harian