KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menjadi orang paling seronok menyakat Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau didakwa menerima dana politik RM2.6 juta.

Ini susulan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu Dr Mahathir Mohamad menerima sumbangan dana politik RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Bagaimana Tun? Boleh saya mula gelar kamu sebagai penyamun, perompak atau pencuri tak?

“Saksi yang memberitahu mahkamah bahawa Muhyiddin dibayar RM1.3 juta juga mengaku telah memberi RM2.6 juta cash kepada Tun Mahathir selepas dia menjadi PM pada PRU-14.

“Itu RM2.6 juta – bukan dana dikatakan RM2.6 bilion yang pernah masuk akaun saya sebelum PRU-13,” dakwa Najib, pada Isnin.

Tetapi kata beliau, dana RM2.6 bilion itu telah dikembalikan empat bulan kemudian.

“Sebab itu saya didakwa bawah Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) sembilan kali kerana menerima dan didakwa enam caj lagi kerana memulangkan dana tersebut kepada penghantar.

“Sebab itu, saya tidak didakwa merompak, menyamun atau mencuri atau menggunakan dana disebut RM2.6b itu tapi didakwa bawah AMLA,” tegas Najib di Facebooknya.

Namun sehingga kini kata beliau, tiada seorang pemimpin PH/PN yang pernah keluarkan kenyataan yang mengaku dana yang dikatakan RM2.6bilion itu sudah dikembalikan.

“Sebab semua mahu kekalkan persepsi bahawa saya sudah curi dana tersebut untuk digunakan bagi membeli cincin, beg tangan dan sebagainya atau disorok saya.

“Bagaimana pula dengan Mahathir?
Dia ada pulangkan dana RM2.6 juta itu tak?

“Sekiranya tidak dikembalikan, dana itu sudah digunakan di mana? Untuk CSR juga tak? Sindir Najib.

Di mahkmah hari ini, Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata bekas Perdana Menteri itu yang juga bekas Pengerusi Bersatu itu menerima sumbangan tersebut untuk kegunaan parti berkenaan menerusi anak saudaranya, Tan Sri Rahmat Abu Bakar.