KUALA LUMPUR – Iskandar Malaysia sehingga Jun 2022 telah berjaya mencatatkan sebanyak RM13 bilion pelaburan komited.

Manakala sebanyak RM6 bilion daripadanya telah pun direalisasikan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jumlah yang dicatat ini membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia.

“Sebanyak lebih RM10 bilion bakal dijana oleh pelaburan asing di wilayah ini untuk pembangunan pusat data (data centre),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) kali ke-30.

Menurut Perdana Menteri, pelaburan asing ini akan memberikan pertambahan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

Secara keseluruhannya kata beliau, lebih 6,000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini telah mendapat manfaat secara langsung
daripada semua inisiatif sosioekonomi yang telah dijalankan.

“Dalam pada itu, IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan.

“Pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama pertanian moden disegerakan di kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara.

“Ini adalah sejajar dengan agenda kerajaan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” jelas beliau.

Ismail Sabri memaklumkan, Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai “Agrifood Hub” Malaysia.

“IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022 – 2030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai salah satu tunjang utama menjana ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan.

“Pembangunan di wilayah ini amat penting bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh,” katanya.