KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Subang Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendakwa keputusan Datuk Puad Zarkashi meninggalkan Umno kerana kecewa apabila permintaannya tidak dipenuhi Umno Johor.
Menurut Armand beliau dimaklumkan bahawa Puad minta anak dia umur 29 tahun yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Bahagian Batu Pahat yang dilantik 2 tahun lepas supaya ganti tempat dia di DUN Rengit namun tidak dikabulkan Umno Johor.
“Ramai yang tak tahu cerita sebenar kenapa dia buat hal ni. Saya dimaklumkan Puad minta anak dia umur 29 tahun, AJK Pemuda Bahagian Batu Pahat yang dilantik 2 tahun lepas supaya ganti tempat dia di DUN Rengit (sebelah Benut, Pontian).
“Bila hasrat peribadi beliau tidak berjaya ..Maka hari ini Puad keluar Umno dan tuduh Istana kawal Umno Johor.
“Tiada salahnya Istana, bubarkan DUN sebab itu sebahagian tugas Raja di Johor. Silap langkah beliau ini kerana kepentingan peribadi.
“Politik ini bukan larian 100 meter tapi marathon 42.2 km, ini kata-kata daripada pelari marathon,” ujar Armand dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Tambah Armand lagi, jika kita hayati cara politik Puad, setiap kali PRN atau PRU mesti nak buat cara ni , masih orang sama tak ubah-ubah.
“Tahniah Onn Hafiz Ghazi yang konsisten dan tegas dalam membuat keputusan walaupun orang sama ini nak ugut untuk ikut kehendak beliau.
“Jalan terus bro, tengoklah last corner konon-konon nak buat gimik akan lompat sokong malah jadi calon parti lain,” katanya.


