Oleh Zihan Zari
JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah mencatatkan rekod lonjakan luar biasa apabila menerima pendaftaran seramai 1,843 pelajar baharunya bagi peringkat Diploma Sesi 1-2026/2027.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak berbanding norma pengambilan kebiasaan institusi berkenaan iaitu seramai 1,380 orang pelajar.
Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Hj. Mohd Zulkefli Ibrahim berkata, sambutan luar biasa daripada golongan muda itu membuktikan institusi tersebut terus mendapat kepercayaan tinggi daripada masyarakat untuk melanjutkan pengajian.
“Pihak pengurusan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa atas kepercayaan ini demi masa depan anak-anak mereka. Kami juga amat menghargai kefahaman mereka terhadap situasi semasa di kampus,”katanya ketika menyampaikan Sesi Taklimat Waris di Dewan Sri Mas, dekat sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai aspek prasarana ekoran peningkatan jumlah pelajar itu, beliau memberi jaminan bahawa pihak politeknik akan memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan proses pembelajaran.
Katanya, sebarang keperluan penambahbaikan kemudahan akan dibawa terus ke peringkat pengurusan tertinggi untuk tindakan susulan.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman menjelaskan, senario lonjakan tersebut bakal membawa kepada sedikit perubahan dalam kaedah penyampaian akademik di kampus berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sesi pembelajaran secara bersemuka (fizikal) tetap dikekalkan bagi semua aktiviti yang melibatkan kerja praktikal dan amali bagi memastikan kualiti latihan kemahiran pelajar sentiasa berada pada tahap terbaik.
Dalam pada itu, tinjauan di lokasi pendaftaran mendapati rata-rata pelajar baharu menyatakan rasa teruja dan tidak sabar untuk memulakan pengajian masing-masing.
Bagi pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Muhammad Amsyar Hakim Mohd Ramlan dari Sekolah Menengah Permaisuri Nur Zahirah, Besut, Terengganu berkata peluang belajar di institusi tersebut merupakan satu perkara yang amat mengujakan.
Nada sama turut dikongsi oleh Humaira Hairul Hadafi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting, Selangor yang memilih jurusan Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, serta Muhammad Shazieq Zainol dari SMK Seksyen 5, Shah Alam, Selangor yang mengambil bidang Diploma Kejuruteraan Elektronik.-SUARA.TV


