Majlis Dekan Hargai Usaha Menteri Pendidikan Tambah Guru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam (MEDC) menghargai keprihatinan Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menerusi inisiatif penambahanbilangan guru sekali gus menyelesaikan isu ribuan graduan pendidikan yang masih belum mendapat penempatan.

Pengerusi MEDC, Prof Datuk Dr Norazah Nordin berkata, MEDC menyokong pengumuman yang disampaikan Menteri Pendidikan berkenaan dengan pengambilan khas 18,702 orang guru secara one-off bagi menampung keperluan semasa, khasnya untuk subjek yang memang memerlukan guru-guru diisi dalam kadar segera.

“Kita semua sedia maklum bahawa profesion perguruan merupakan antara perkhidmatan yang terpenting bagi pembinaan negara bangsa yang cemerlang menerusi pendidikan. Sebagaimana yang telah ditentukan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dipraktikkan selama ini juga, Universiti Awam (UA) mengeluarkan graduan Pendidikan untuk penempatan di sekolah menengah, manakala Institut Pendidikan Guru (IPG) mengeluarkan graduan untuk sekolah rendah.

“Bagi pengambilan khas ini, MEDC mencadangkan supaya pengambilan guru tersebut dibuat dengan mengutamakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari UA dan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), yang masih belum dipanggil temuduga atau yang sudah lulus temuduga tetapi belum mendapat penempatan (posting). Mereka ini perlu diberi keutamaan bagi mengisi kekosongan yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Justeru menurut Norazah lagi, MEDC juga berpendapat pengambilan guru secara one-off ini akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat, khasnya kepada para graduan pelbagai bidang.

“Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kadar pengangguran semasa bagi April 2021 melibatkan hampir seramai 742 ribu rakyat. Justeru, penyediaan peluang pekerjaan ini sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan bilangan pengangguran dalam kalangan masyarakat. Pengangguran yang makin meningkat turut disumbang oleh faktor pandemik COVID-19.

“Pihak MEDC menghargai usaha kerajaan Malaysia yang memberikan tawaran secara one-off ini, namun dalam masa yang sama, penekanan perlu diberikan untuk melihat kumpulan sasaran yang sebenarnya layak bagi mengisi kekosongan tersebut. Kumpulan sasaran yang layak dalam Pengambilan Khas Guru 2021 ini ialah graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas dalam bidang pendidikan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kesemua hasil graduan Pendidikan dari UA dan IPG ini telah mempunyai kelayakan ikhtisas dalam bidang pendidikan. Hasil graduan ini telah mengikuti kurikulum pendidikan yang menepati standard MQA dalam pelbagai pengkhususan.

Katanya, mereka telah menjalani proses yang sewajarnya untuk menjadi seorang guru termasuklah ilmu berkaitan dengan falsafah pendidikan, kualiti pendidikan, kurikulum dan pedagogi, penilaian dalam pendidikan dan kemahiran insaniah yang berkaitan.

“Graduan ini juga dilengkapi dengan kemahiran untuk menyelesaikan masalah berdasarkan kepada teknologi Revolusi Industri 4.0 termasuk pendigitalan pendidikan yang merupakan satu ilmu yang sangat penting khasnya dalam suasana PDPR secara dalam talian.

“Di samping itu, graduan tersebut telah menjalani latihan mengajar di sekolah dan sepanjang tempoh itu mereka dibimbing oleh guru sekolah yang berpengalaman dan telah didedahkan dengan aktiviti kurikulum terkini, ko-kurikulum dan budaya positif persekolahan negara, termasuk elemen pembinaan karekter seperti kepimpinan, kerja berpasukan, dan komunikasi.

“”Justeru, MEDC menyokong pengambilan secara ‘one-off’ ini bagi memperkasakan dan menampung keperluan pendidikan semasa, dengan saranan kepada pihak kerajaan untuk mengutamakan pengambilan daripada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari UA dan IPG.

Sekiranya terdapat keperluan yang mendesak untuk melantik guru daripada mereka yang tidak memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), contohnya tidak ada opsyen bagi mata pelajaran tertentu atau mata pelajaran baharu yang ditawarkan oleh UA dan IPG, pihak MEDC mencadangkan supaya program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dapat dilakukan kepada mereka hasil kerjasama dengan UA dan IPG bagi memastikan mereka mempunyai kelayakan ikhtisas dalam profesyen perguruan,” jelasnya.

Norazah menambah, MEDC juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak KPM untuk merangka strategi bagi memastikan isu lambakan graduan pendidikan diselesaikan.

Katanya, bagi tujuan perancangan jangka panjang, kita boleh melihat contoh negara maju seperti Amerika Syarikat, Finland atau Australia yang mempunyai satu institusi atau suruhanjaya khas bagi memastikan pemantapan kualiti guru dengan ‘teaching credential’ yang ditetapkan.

“Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dicadangkan menjadi badan profesional bagi melaksanakan sistem ‘teaching credential’ kepada semua pendidik di Malaysia agar pemantapan kualiti guru dapat diperkasakan,” jelas Norazah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat