Misi serampang dua mata Ahmad Idham

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pembabitan saya dalam politik bukan hanya kerana minat, tetapi bagi memperjuangkan agenda memperkasakan hab pendidikan khas untuk anak-anak istimewa. Itu misi utamanya.”

Demikian kata pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 48, yang dilantik sebagai Ketua Cawangan Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang.

Bapa empat cahaya mata yang mempunyai seorang anak istimewa itu berkata, hab pendidikan khas ini penting untuk sistem pembelajaran yang khusus buat anak-anak istimewa terbabit demi masa depan mereka.

“Tumpuan saya untuk membantu anak-anak istimewa dalam kalangan keluarga B40 bagi mendapatkan pendidikan yang khusus dan terbaik kerana ia penting. Apatah lagi, saya sudah menyuarakan perkara ini (pendidikan khas) sejak 2002 lalu.

“Modul pendidikan khas dan khusus harus ada kerana kita sedia maklum guru-guru terpilih untuk mendidik anak-anak istimewa ini perlukan kualitifikasi yang tinggi. Justeru, saya serius dalam perjuangan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ahmad Idham, demi memahami pentingnya pendidikan khas untuk anak-anak istimewa ini, dia sanggup berpindah ke Johor, kemudian menimba ilmu di Singapura dan balik semula ke ibu kota untuk membuka sekolah khas sendiri pada 2015 lalu.

“Perjuangan saya ini sudah lama dan dengan pembabitan dalam politik sekarang, ia bukan tin kosong. Saya punya matlamat untuk membantu lebih ramai ibu bapa yang ada anak-anak istimewa agar mendapatkan pendidikan khas dengan modul yang khusus,” katanya.

Menerusi hasil kerja kerasnya, Ahmad Idham kini semakin berjaya membina sistem sokongan komuniti (Community Support System) untuk pendidikan khas anak-anak istimewa ini yang begitu mendapat perhatian masyarakat setempat.

“Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada kepimpinan BERSATU Selangor kerana melihat perjuangan ini sebagai usaha yang besar kepada masyarakat khususnya golongan anak-anak istimewa,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Idham pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak dua kali.

Dia kemudiannya meletak jawatan dan dilantik pula berkhidmat sebagai Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar untuk objektif membangunkan Diplomasi Budaya di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia pada 1 November, tahun lalu.

Bagaimanapun, hanya sempat berkhidmat selama empat bulan dengan Wisma Putra, Ahmad Idham dilucutkan jawatan serta-merta tanpa alasan pada 28 Februari lalu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat