Izzue tak ‘caras’ Sean

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak berniat ‘mencaras’ tempat Sean Lee selaku hos program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim kelima, pelakon dan pengacara, Izzue Islam menjelaskan pembabitannya hanyalah sebagai bidang terjun.

Katanya, tawaran diterima sangat mengejut hingga memaksanya meminta produksi drama dijayakan menganjak jadual penggambaran untuk memberi laluan kepada ICSYVMY5 demi tidak melepaskan peluang keemasan itu.

“Saya tidak risau dikatakan sebagai ‘pencaras’ kerana saya dipilih produksi bagi menggantikan tempat Sean kerana tidak dapat menjayakan ICSYVMY5 musim ini.

“Awalnya, saya menyangka hanya menggantikan tempat Sean untuk satu episod, namun, tidak sangka saya diberi kepercayaan mengendalikan keseluruhan program musim ini.

“Sejujurnya, saya berdebar menantikan respon penonton memandangkan mereka sudah biasa menonton Sean sebagai pengacara. Jadi, saya risau jika orang membanding-bandingkan cara saya dengan Sean.

“Saya sebenarnya bimbang persembahan tidak mencapai piawaian dikehendaki produksi dan penonton. Saya akui mengambil masa menyesuaikan diri dalam program ICSYVMY5, tetapi Alhamdulillah, pasukan produksi dan Sean sendiri berkongsi tip,” katanya pada majlis sidang media ICSYVMY5 secara virtual, baru-baru ini.

Kemampuan Izzue selaku hos ICSYVMY5 bergandingan bersama Ain Edruce boleh disaksikan menerusi Edisi Raya pada 8 Mei ini di TV3, jam 9 malam.

 

Izzue dan Ain mudah cipta keserasian sebagai hos bersama program ICSYVMY musim kelima. - Foto Ihsan TV3
Izzue dan Ain mudah cipta keserasian sebagai hos bersama program ICSYVMY musim kelima. – Foto Ihsan TV3

 

Mengulas gandingan bersama Ain, bekas anggota kumpulan Forteen itu berkata, dia tiada masalah bergandingan dengan Ain memandangkan mereka sudah saling mengenali.

“Sikap Ain Edruce ‘gila-gila’ menyebabkan kami mudah mencipta keserasian, sekali gus melancarkan proses kerja.

“Berkerja dengan Ain sangat menyenangkan. Saya sudah lama mengenali Ain, ia memudahkan kami untuk membina keserasian. Selain Ain, saya seronok bekerja dengan selebriti lain seperti Datuk Rosyam Noor, Andi Bernadee, Janna Nick dan ramai lagi,” katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri, Izzue berkata, dia tidak sabar pulang ke kampung halamannya di Kelantan selepas dua tahun hanya beraya di Kuala Lumpur akibat penularan pandemik COVID-19.

Izzue berkata, dia akan menyambut lebaran di Selangor terlebih dahulu, sebelum pulang ke Pantai Timur pada hari raya kedua atau ketiga.

“Saya sudah merancang pulang ke kampung halaman. Dua tahun tidak bertemu keluarga, jadi saya sudah tidak sabar berkumpul dengan sanak-saudara.

“Perkara paling dirindui tentunya sesi ‘membawang’ bersama sanak-saudara, maklumlah sudah lebih dua tahun tidak berjumpa. Jadi, tentulah pelbagai cerita yang ingin dikongsikan.

“Namun, dalam pada berseronok, saya nasihatkan buat ujian calitan terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung. Walaupun sudah berada di fasa peralihan ke endemik, namun kesihatan dan keselamatan harus dititikberatkan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat