DOF komited kukuhkan kerjasama penguatkuasaan antara agensi banteras aktiviti IUU Fishing

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama penguatkuasaan antara agensi dalam membanteras aktiviti perikanan tidak sah (IUU Fishing) yang boleh menjejaskan kelestarian sumber perikanan, sekuriti makanan dan kedaulatan perairan negara.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata, IUU Fishing terus menjadi cabaran dalam usaha pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan negara berikutan taktik yang digunakan semakin kompleks serta sukar dikesan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kesedaran Memerangi IUU Fishing Day 2026.

Menurut Adnan, antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk mematikan Sistem Pemantauan Vesel (VMS) bagi mengelakkan pengesanan, memanipulasi data pendaratan hasil perikanan, menceroboh kawasan perikanan yang tertakluk kepada syarat dan peraturan pelesenan tertentu serta pencerobohan vesel pukat tunda komersial ke Zon A yang menyalahi syarat pelesenan dan peraturan penangkapan ikan yang ditetapkan.

Menurutnya lagi, aktiviti IUU Fishing bukan sahaja menyebabkan kehilangan sumber perikanan negara, malah boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin serta sumber pendapatan komuniti nelayan yang bergantung kepada sektor ini.

“DOF akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 [Akta 317] serta mempererat kerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi dan diurus secara mampan.

“Keluasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia yang hampir dua kali ganda keluasan daratan negara memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang menyeluruh dan bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa maritim, ”katanya.

Katanya lagi, dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan di perairan negara, Ops Naga terus menjadi platform penyelarasan yang menghimpunkan kekuatan 17 agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negara.

“Sebanyak 546 kes tangkapan Vesel Penangkapan Ikan Asing (VNA) telah direkodkan hasil kerjasama penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh agensi-agensi yang terlibat secara bersepadu bagi tempoh 2020 hingga 2025.

“Daripada jumlah tersebut, APMM merekodkan 474 kes atau 86.8 peratus (%) daripada keseluruhan tangkapan, diikuti PPM sebanyak 53 kes dan DOF sebanyak 19 kes, ”ujarnya.

“Analisis trend menunjukkan jumlah tangkapan VNA menurun daripada 126 kes pada tahun 2021 kepada 33 kes pada tahun 2025, iaitu pengurangan sebanyak 73.8 %.

“Penurunan tekal ini membuktikan keberkesanan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara konsisten oleh pelbagai agensi, termasuk melalui kehadiran aset di zon maritim kritikal melebihi 60 batu nautika dari pesisir pantai,”ujarnya lagi.

Tambahnya, kehadiran berterusan ini turut meningkatkan kesan pencegahan terhadap aktiviti pencerobohan vesel asing ke perairan negara.

“Walaupun operasi penguatkuasaan sering berdepan cabaran termasuk keadaan laut bergelora semasa Monsun Timur Laut dengan ketinggian ombak mencecah lima meter serta tindakan agresif segelintir kru vesel asing bagi mengelakkan penahanan, agensi penguat kuasa terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam melindungi sumber perikanan serta kedaulatan perairan negara.

“DOF menyeru komuniti nelayan, pemain industri perikanan dan masyarakat awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti perikanan yang mencurigakan.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan dapat dimanfaatkan secara mampan demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian sektor perikanan negara, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat