Langkah elak produksi dominasi projek RTM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan mempelawa pembekal berdaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP) bagi membekalkan Program Televisyen (TV) Swasta Baharu Tempatan, Luar Negara dan Produk Siap Tempatan untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2023, umpama durian runtuh buat golongan penerbit.

Ini membuktikan kerajaan cukup prihatin, mendengar setiap keluhan dan rungutan seperti yang pernah disuarakan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berhubung isu saringan perolehan itu.

Meskipun menyambut baik pengumuman dibuat, namun, demi menjimatkan masa dan mahu RTM berlaku adil, PTVM mencadangkan agar baki syarikat produksi disenarai pendek ketika sesi saringan perolehan pada Oktober lalu diumumkan sebagai pembekal layak menjual hasil penerbitan untuk siaran tahun depan.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata sebanyak 200 syarikat produksi mendapat manfaat pada sesi saringan perolehan Oktober, tahun lalu.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa juga ada menyatakan baki syarikat berjaya melepasi senarai pendek pada sesi itu juga bakal diumumkan.

“Bagaimanapun, hingga hari ini, senarai produksi masih belum diumumkan. PTVM menyarankan mereka gantikan sahaja produksi yang sudah disenarai pendek, memandangkan RTM baru membuka tawaran kepada penerbit menghantar kertas cadangan projek.

“Selain menjimatkan masa kerana tempoh penilaian mengambil masa hingga tiga bulan, PTVM juga mahu memberi peluang sama rata kepada penerbit agar tiada produksi mendominasi sejajar syarat dikeluarkan RTM, sebelum ini.

“Dengan mengambil kertas cadangan diluluskan, sesi saringan menjadi lebih cepat, mudah dan menjimatkan wang kerajaan. Ini kerana tidak perlu lagi diadakan sesi saringan yang memerlukan kehadiran panel penilai, peserta dan beberapa proses yang memakan masa serta kos,” katanya kepada BH Online.

Mengukuhkan saranan dinyatakan itu, Jurey berkata, cadangan dikemukakan PTVM itu boleh dilaksanakan kerana program dihasilkan tiada tarikh luput dan relevan disiarkan pada bila-bila masa.

“Program diterbitkan tak kisahlah sama ada drama, telefilem, majalah, dokumentari ataupun rancangan hiburan, ia bukanlah seperti program berita bersifat terkini. Program yang diterbitkan tiada tarikh luput dan boleh disiarkan pada bila-bila masa.

“Jadi, saya tidak nampak masalah jika diberikan tawaran kepada produksi sudah disenarai pendek. Lagipun, untuk menghadiri sesi pitching, golongan penerbit sudah keluarkan belanja besar, iaitu menyiapkan projek pilot untuk dibentangkan kepada panel penilai.

“Sudahlah kos produksi semakin tinggi, kalau dahulu setiap produksi dibenarkan membekal lima tajuk, tetapi kali ini jumlahnya terhad kepada dua tajuk sahaja,” luahnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa PTVM yang di sebuah hotel di Ampang.

 

Jurey menyarankan penerbit yang baru menduduki kerusi penerbit perlu menyertai bengkel khas sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia penerbitan.
Jurey menyarankan penerbit yang baru menduduki kerusi penerbit perlu menyertai bengkel khas sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia penerbitan.

 

Menurut kenyataan dikeluarkan RTM, baru-baru ini, sebanyak 14 kategori program televisyen (TV) akan ditawarkan bagi mengisi masa siaran menerusi lima rangkaian saluran RTM, iaitu TV1, TV2, TV Okey, Berita dan Sukan.

Antaranya, membabitkan drama, telefilem, majalah, dokumentari, animasi, travelog, bual bicara, sambung siri, realiti, sukan, candawara, cereka, muzikal dan terbuka.

Sesi saringan perolehan juga bakal memberi manfaat kepada hampir 700 syarikat yang berdaftar dengan KKMM.

Sebagai persatuan menaungi golongan penerbit TV, selain menjaga kebajikan, PTVM bertanggungjawab menjaga reputasi dan nama baik ahli-ahli.

Disebabkan sering berdepan dengan kelompok penerbit ‘mi segera’ hingga menimbulkan masalah kepada persatuan, Jurey menyarankan penerbit yang baru menduduki kerusi penerbit perlu menyertai bengkel khas sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia penerbitan.

“Ada banyak produser hari ini yang perlu diketahui dan dititikberatkan. Ada yang tidak berpengalaman hingga mengakibatkan diperdaya oleh pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan.

“Ada yang sudah melaburkan duit, tetapi projek yang tidak berjalan hingga terpaksa menanggung kerugian.

“PTVM menyarankan agar penerbit menyertai bengkel dengan skop kerja seorang penerbit, persediaan perlu dibuat seperti penyediaan bajet produksi dan bagaimana berurusan stesen penyiaran bagi memudahkan urusan kerja,” katanya.

Jurey berkata, sebelum ini, memang ada ujian khas perlu dijalani penerbit kendalian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), tetapi lebih kepada ujian objektif. Kami harap FINAS dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kemajuan industri itu sendiri,” kata Jurey.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat