KKM ambil langkah segera sementara berpandukan Kluster Sistem Pengurusan Krisis atasi kekurangan kakitangan di hospital

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan Kluster Sistem Pengurusan Krisis yang bersifat sementara untuk mengatasi masalah kekurangan kakitangan perubatan yang dilaporkan di beberapa buah hospital bulan lepas.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu sidang media di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, langkah sementara itu akan melibatkan premis kesihatan KKM yang berhampiran yang akan digunakan untuk membantu mendapatkan kakitangan kesihatan untuk mengatasi masalah kekurangan yang dihadapi.

“Proses ini akan melibatkan pergerakan tenaga kerja dari klinik kesihatan yang berdekatan untuk membantu hospital-hospital yang mengalami masalah kekurangan kakitangan melibatkan semua tugas termasuk jururawat,” kata beliau.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata langkah berkenaan diambil segera untuk memastikan sistem khidmat kesihatan di negara ini tidak terjejas.

“Saya sangat sedar akan tekanan ke atas tenaga kerja kesihatan supaya ia dikekalkan pada tahap minimum bagi mengelakkan keletihan melampau ‘burn out’ semua petugas termasuk jururawat,” katanya.

Ketika ini, sebanyak kira-kira 5 hospital dilaporkan mengalami kekurangan kakitangan iaitu di Sabah, Johor dan Pahang.

Dalam perkembangan lain, seramai 13,000 orang penduduk akan mendapat manfaat rawatan perubatan dari klinik kesihatan apabila Klinik Kesihatan Bakun di Sarawak bakal siap dibina kira-kira 2 tahun lagi.

Ketika ini, penduduk di kawasan itu bergantung pada Klinik Kesihatan Sungai Asap di Belaga yang jaraknya kira-kira 60km manakala Hospital Bintulu pula sejauh lebih 200km.

Klinik Kesihatan Bakun kini ada tapi beroperasi di kawasan kediaman kakitangan Empangan Hidroelektrik Bakun sejak 2014 menyediakan perkhidmatan kesihatan pesakit luar dan rawatan kesihatan ibu dan anak.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata pembinaan berkenaan dijayakan melalui kerjasama KKM dan penyedia bekalan elektrik utama Sarawak, Sarawak Energy Berhad.

“Kita berharap pembinaan klinik kesihatan ini akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang akan menyebabkan lanjutan tempoh siap kerana kita tidak mahu rakyat terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya.

Satu majlis menandatangani MoU diadakan hari ini dengan KKM diwakili oleh Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Sarawak Energy diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power Sdn Bhd, anak syarikat Sarawak Energy Berhad Bunyak Lunyong.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat