Polis Cari Jalan Bantu 2,000 Penduduk Di 14 Ladang Terputus Hubungan Akibat Banjir

- Advertisement -

KLUANG – Lebih 2,000 penduduk dari 14 ladang dan enam perkampungan Orang Asli sekitar Kahang terputus hubungan darat akibat banjir di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehubungan dengan itu pihaknya akan berusaha memberi bantuan makanan termasuk menggunakan helikopter ke kawasan terjejas jika keadaan memerlukan.

“Ada satu berita tular satu ladang terputus hubungan (Ladang Selai) dan kita sahkan.

“Ada 14 ladang di Kluang yang terputus hubungan menuju Kampung Peta yang terputus hubungan darat akibat banjir namun masih boleh berhubung melalui telefon.

“Kenderaan tak boleh melaluinya kecuali menggunakan bot yang memakan masa dua jam dan ketua polis daerah dan Pejabat Daerah akan berusaha membawa bekalan ke sana.

“Cuma sekarang keadaan hujan dan cuaca gelap, kita akan cari jalan terbaik untuk meminta bantuan helikopter sama ada pihak polis, ATM atau bomba sendiri untuk membawa bekalan ke sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat Balai Polis Kahang di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya terdapat 12,400 pegawai dan anggota unit penyelamat pelbagai jabatan di negeri ini dengan 8,000 daripadanya diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menangani bencana di negeri ini.

“Unit penyelamat itu merangkumi polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukam Gerakan Am (PGA) , Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya.

“Sebanyak 200 kenderaan digunakan termasuk bot, kenderaan pacuan empat roda dan sebagainya untuk tugas menyelamat,” katanya.

Beliau mengingatkan supaya orang ramai tidak cuba meredah banjir kerana arus deras dan membahayakan.

“Apabila dilalui kenderaan akan hanyut dibawa arus sekali gus membahayakan nyawa,” katanya.

Terdahulu media melaporkan kira-kira 300 pekerja Ladang Selai, Kahang merayu bantuan berikutan mereka terputus hubungan selepas laluan masuk ke kawasan itu dinaiki air setinggi lebih satu meter.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata penduduk bimbang sekiranya hujan lebat berterusan, mereka akan kehabisan stok makanan yang dijangka bertahan dua hari lagi. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat