Risiko Bot Karam, Rosak Tiap Kali Musim Tengkujuh

- Advertisement -

KUANTAN – Sudah menjadi rutin tiap kali musim tengkujuh, puluhan nelayan tradisional di Sungai Balok, di sini terpaksa berdepan risiko kerosakan bot akibat air pasang besar.

Sebahagian daripadanya tidak dapat tidur lena memikirkan nasib bot yang diletakkan di jeti muara sungai itu.

Pengerusi Jaringan Ketua Pangkalan nelayan Sungai Balok, Kamarul Shah Mohammad berkata, masalah itu dihadapi 70 nelayan berdaftar di jeti kendalian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan jeti persendirian sepanjang sungai terbabit.

“Benda (masalah) ini sudah lama dan berulang tiap kali musim tengkujuh atau musim Monsun Timur Laut (MTL), ada juga bot yang karam apabila berlaku fenomena air pasang besar.

“Memang tak senang duduklah kami bila sampai musim (tengkujuh), nak keluar cari rezeki pun berisiko, bot ditinggalkan di jeti pun sama, kalau bernasib baik cuma rosak, kalau tak, boleh karam bot kami.

“Sebab itulah kami perlu memeriksaan keadaan bot di jeti setiap masa, bukan apalah, ini saja harta kami ada untuk mencari rezeki,” katanya ketika ditemui di perkampungan Sungai Balok, dekat Kuantan, semalam.

Kamarul Shah berkata, sebanyak 158 bot milik nelayan sungai yang didaftarkan dengan persatuan itu buat masa ini.

Katanya, kebanyakan pemilik sudah menjadi nelayan tradisional antara 20 hingga 30 tahun lalu dan menjadikan kawasan pesisir pantai berhampiran Sungai Balok sebagai lokasi mencari rezeki.

Sementara itu, seorang pengusaha bot sewa, Ahmad Rithauddeen Shafie, 46, berkata, bot gentian kaca miliknya pernah karam dalam kejadian lebih dua minggu lalu.

Dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan rakannya dan bergegas ke jeti dan mendapati hampir keseluruhan bot sudah tenggelam.

“Bot itu sempat diselamatkan dengan bantuan rakan, namun saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM6,000 untuk membaik pulih semula bot berkenaan,” katanya.

Seorang nelayan, Mat Sokri Khalid, 55, memberitahu dua bot gentian kaca miliknya karam dalam kejadian hujan lebat hujung minggu lalu.

Dia berkata, kejadian itu hanya disedarinya sekitar jam 6 pagi hari Isnin lalu selepas dimaklumkan seorang rakan.

“Kerosakan bot itu agak teruk dan ada antara peralatan sudah tidak boleh digunakan dan ada yang hanyut dibawa arus deras.

“Sebelum ini saya pernah mengalami kerugian kira-kira RM40,000 akibat sebuah bot milik saya karam dan semua peralatan, termasuk enjin tidak dapat diselamatkan,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat