KUALA LUMPUR – Punca utama banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor adalah disebabkan aktiviti penebangan hutan,” kata
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Datuk Dr Shariffa Sabrina Syed Akil.

Bahkan beliau menempelak, tidak perlu mempelajari ilmu ‘roket sains’ untuk mencari punca banjir yang melanda di beberapa negeri termasuk Selangor sebaliknya punca boleh diketahui dengan menggunakan akal kerana katanya antara punca banjir disebabkan berlakunya aktiviti penebangan hutan.

Menurut Shariffa Sabrina, hutan adalah nadi kehidupan walaupun sesetengah pihak berpandangan penebangan hutan wajar untuk tujuan pembangunan namun hutan yang ditebang itu perlu ditanam semula.

“Sebab di Singapura mereka tanam semula banyak pokok, mereka tahu setiap kali hujan melanda, hutan dapat dijadikan penyerap air,” katanya memetik Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau turut tertarik dengan komen netizen di laman sosial yang mempersoalkan kenapa Selangor turut mengalami banjir sedangkan negeri itu tiada aktiviti ‘pembalakan’.

“Saya juga baca komen-komen netizen (di laman sosial berkenaan isu banjir) mereka kata kalau Kelantan dan Pahang bolehlah cakap banjir sebab ada ‘pembalakan’.

“Tetapi kenapa kalau (ketika ini) Selangor pula banjir, Selangor kan tiada pembalakan, (tetapi) sebabnya Selangor pun sama, mereka pun potong banyak hutan,” katanya.

Ujarnya lagi, setiap tahun negara akan menghadapi bencana banjir dan ia sudah bermula sejak kemerdekaan lagi iaitu pada tahun 70-an ketika pembangunan di Malaysia mula dibina.