Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Banjir besar yang telah melanda Negeri Selangor Darul Ehsan baru-baru ini sememangnya sesuatu yang amat mengejutkan semua pihak. Ini kerana sungguhpun negeri ini sering dilanda banjir kilat, kita belum pernah lagi melihat situasi banjir yang sebegitu besar berlaku sepertimana yang boleh dilihat pada ketika ini.

Pada ketika rakyat Selangor memerlukan bantuan, kita dapat melihat jentera dari kalangan parti politik, NGO dan orang awam kesemuanya turun padang untuk memberikan bantuan kepada penduduk Selangor yang terkesan dengan musibah ini.

Parti politik baharu yang dilancarkan pada 21hb Disember 2021 yang lepas, Parti Bangsa Malaysia, turut sama mengembling tenaga untuk menghantar bantuan dan berkhidmat untuk mangsa-mangsa banjir. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Negeri Selangor, tetapi juga di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.

Malah parti yang dianggotai seramai lebih 50,000 ahli NGO Penggerak Komuniti Negara itu dikhabarkan telahpun bersedia untuk menggerakkan sukarelawan bermula pada hari Jumaat (17 Disember 2021) yang lepas, kerana khuatir dengan hujan yang sebegitu lebat akan mengakibatkan banjir, terutamanya di Daerah Petaling.

Ternyata jangkaan mereka tepat, apabila situasi banjir terus meruncing pada hari Sabtu (18 Disember 2021), sehingga menyebabkan sebahagian daripada daerah Petaling, Klang dan Hulu Langat tenggelam.

Sehingga ke hari ini, para sukarelawan Parti Bangsa Malaysia masih lagi berada di lapangan untuk meneruskan usaha-usaha pemberian bantuan kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih lagi terkesan dan terbeban dengan bencana ini.

Mengikuti pelancaran Parti Bangsa Malaysia yang diadakan pada hari Selasa lepas, penulis mendapati parti ini lebih bersifat futuristik dengan memperkenalkan Six Pillar (6 tunggak) yang antaranya melibatkan anjakan pembangunan negara dari sudut pemberdayaan wanita, penyertaan anak muda dalam politik dan pemerkasaan sains & teknologi.

Namun begitu, sebagai sebuah parti yang sebahagian besarnya dianggotai oleh para aktivis masyarakat, yang sebelum ini bernaung di bawah Penggerak Komuniti Negara, penekanan terhadap konsep khidmat bakti tetap jelas kelihatan di dalam Parti Bangsa Malaysia.

Penulis merasakan tiada salahnya untuk parti-parti baharu ditubuhkan di Malaysia, kerana ini memberi platform kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pilihan yang lebih banyak sekaligus memeriahkan arena demokrasi di negara ini.

Masyarakat seharusnya melihat penubuhan parti-parti baharu ini sebagai satu wadah transformasi yang boleh meningkatkan lagi keupayaan masyarakat untuk menentukan hala tuju mereka sebagai sebuah negara.

Kita juga mengharapkan parti-parti baharu seperti Parti Bangsa Malaysia, Muda, Parti Kuasa Rakyat dan lain-lain lagi (jika ada), untuk terus berjuang dan bersaing bagi memecahkan dominasi parti-parti lama yang mungkin sudah terlalu tepu dengan pemikiran kuno yang dikhuatiri akan merencatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.

Mungkin juga dengan penubuhan parti-parti baharu ini, institusi politik lain yang sudah lama bertapak di negara ini akan melaksanakan perubahan dalaman mereka sendiri, untuk terus kekal relevan di hati rakyat Malaysia. Sekaligus akan mewujudkan satu reformasi politik dan pentadbiran yang akan menguntungkan kita semua.