500 anak pokok bakau ditanam di HS Jerlun, perkukuh usaha konservasi ekosistem pesisiran pantai

Oleh Zihan Zari

JERLUN – Ke arah kelestarian alam berteraskan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia (DPSM) serta bersempena Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026, Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Kedah telah menanam sebanyak 500 anak pokok bakau di Hutan Simpan (HS) Jerlun, dekat sini, pada Ahad.

Ianya juga sebagai usaha berterusan memperkukuh pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem hutan paya laut negara.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam kenyataan berkata program ini turut disertai oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Radhi Chu Abdullah dan Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Hj. Othman Deris.

“Program ini dianjurkan oleh JPN Kedah melibatkan jabatan dan agensi-agensi kerajaan, Yayasan PETRONAS serta komuniti setempat menanam dua spesies bakau iaitu bakau kurap (Rhizophora mucronata) dan bakau Minyak (Rhizophora apiculata),”kata kenyataan itu.

Katanya, HS Jerlun telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada 14 Februari 2022 dengan keluasan 185.74 hektar dan merupakan ekosistem hutan paya laut yang penting di Kedah.

“Penanaman ini selaras dengan tema sambutan tahun ini, iaitu ‘Ekosistem Hutan Paya Laut Ke Arah Kelestarian Ekonomi Biru’, yang menekankan kepentingan ekosistem hutan paya laut sebagai asas kepada kelestarian alam sekitar, pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan komuniti serta daya tahan negara dalam menghadapi perubahan iklim.

“Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa disambut pada 26 Julai setiap tahun susulan pengisytiharan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 6 November tahun lalu,”katanya lagi.

Ujarnya, sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut termasuk kawasan pesisiran pantai.

“JPSM menyeru agar masyarakat terus memainkan peranan dalam memelihara dan memulihara kawasan hutan paya laut kerana ekosistem ini bukan sahaja penting kepada alam sekitar, malah menyumbang kepada biodiversiti, perlindungan pesisiran pantai, sumber ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Usaha pemuliharaan yang dilaksanakan hari ini merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan khazanah hutan paya laut terus berfungsi sebagai benteng semula jadi dan sumber kehidupan untuk generasi akan datang, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat