‘Cukup-cukuplah fitnah saya bapa ayam’ – Tauke

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengesahan polis menolak pendakwaan ke atas pelawak kontroversi, Tauke Jambu membabitkan kes pemerdagangan manusia membuktikannya bukan ‘bapa ayam’ seperti didakwa.

Meluahkan rasa bersyukur, Tauke berkata, dia bukanlah individu yang dikaitkan dengan aktiviti pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.

Susulan itu, Tauke, 45, berkata, dia berharap semua pihak menghentikan fitnah yang dilontarkan kepadanya.

“Alhamdulillah, akhirnya kebenaran terbukti, saya bukan bapa ayam seperti didakwa. Keluarga juga lega mendapat tahu saya benar-benar tidak bersalah.

“Jadi, saya harap pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak betul dapat membersihkan nama saya.

“Sebelum ini, saya sudah menjelaskan, tetapi ramai tidak percaya, malah berterusan melemparkan pelbagai kejian terhadap saya. Jujurnya, tidak mudah untuk saya melalui semua ini, apatah lagi, mahu membersihkan nama yang terpalit lumpur.

“Jika canang satu dunia saya tidak bersalah, ia bagaikan mencurah air di daun keladi, belum tentu orang mempercayai saya,” katanya kepada BH Online.

Tauke atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria berkata, dia berharap orang ramai berhati-hati memberikan komen, ia boleh menjatuhkan fitnah.

“Jadi, hati-hatilah memberikan komen sebelum menuduh seseorang, jadikan iktibar atas apa yang berlaku pada saya.

“Usahlah lantang memberi komen sehingga mengecilkan hati orang lain. Jangan membiasakan diri memberi komen sesuka hati tanpa mengetahui kebenaran cerita,” katanya.

Sungguhpun begitu, pelawak kelahiran Johor Bahru itu berkata, dia tetap tekad untuk meninggalkan dunia hiburan.

Katanya, dia percaya rezeki Allah luas dan boleh terus menjalankan kehidupan dengan baik biarpun tidak bergelar selebriti atas sokongan keluarga.

“Jujurnya, saya kesal dengan apa yang terjadi. Jika saya seorang dikecam dan dihina, tidak mengapa. Dahulu, mungkin saya melenting, tetapi sekarang saya sudah lali dengan kecaman, namun kali ini, amat keterlaluan.

“Ramai menuduh dan menghukum saya tanpa usul periksa. Namun, saya lebih sedih apabila ada yang turut mengheret anak-anak dan keluarga.

“Bayangkan, ada yang melemparkan persepsi dengan menuduh saya bapa ayam di hadapan anak-anak? Adik-adik saya pula terpaksa berdepan tohmahan apabila abang mereka dikatakan ‘menjual lendir’.

“Betapa maruah saya dipijak-pijak tanpa belas kasihan. Disebabkan itu, saya tekad dengan keputusan meninggalkan industri hiburan. Lebih baik, saya melakukan kerja lain daripada terus menjadi mangsa tohmahan dan cacian,” katanya.

 

Tauke sedih apabila keluarganya turut diheret dengan pelbagai kejian dan cacian. - Foto IG Tauke Jambu
Tauke sedih apabila keluarganya turut diheret dengan pelbagai kejian dan cacian. – Foto IG Tauke Jambu

 

Memulakan kerjaya seni apabila menyertai program Sinaran Passport Kegemilangan pada 2001, Tauke berkata, dia reda ujian Allah ke atasnya.

“Saya mahu belajar memperbaiki diri. Tak guna saya terus menyalahkan orang lain, tetapi saya harus kuat melalui ujian Allah ke atas saya.

“Bagaimanapun, saya agak sedih rakan-rakan yang dahulu baik kini menjauhi saya.

“Boleh kira dengan jari berapa ramai menghubungi saya untuk bertanya khabar, sedangkan hubungan kami rapat. Saya juga banyak berkorban untuk mereka.

“Tak kisah salah atau sebaliknya, sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan saya sebelum menjatuhkan hukum. Kita kena ingat seseorang ditahan atas siasatan belum bermakna bersalah,” katanya dengan nada sedih.

Semalam, media melaporkan polis mengesahkan seorang pelawak yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes pemerdagangan manusia tidak akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata sebaliknya dua individu lain masing-masing seorang lelaki dan wanita yang akan didakwa di mahkamah dipercayai terbabit dalam kes pemerdagangan manusia yang dibongkar polis pada 1 Ogos lalu.

“Seorang pelawak yang sebelum ini dikatakan terbabit dalam kes berkenaan, tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Penahanan pelawak terbabit sebelum ini hanya bagi membantu siasatan kes berkenaan dan dia tidak akan didakwa di mahkamah esok (hari ini),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat