Kes rasuah Ahmad Zahid: Pendakwaan akan buktikan wujud kaitan UKSB

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan membuktikan wujudnya kaitan rapat antara pelantikan Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) sebagai kontraktor dan fakta penerima wang tunai.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran berkata, kaitan antara kedua-dua fakta tersebut adalah penting untuk membuktikan bahawa Ahmad Zahid, 68, selaku tertuduh telah menerima wang suapan sebagai upah dan sebagai dorongan mengekalkan dan atau melanjutkan kontrak lantikan UKSB.

Menurutnya, ketika kejadian Ahmad Zahid adalah Menteri Dalam Negeri dan sepanjang tempoh empat tahun, tertuduh mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk mengaut kekayaan.

“Tertuduh menerima suapan daripada UKSB yang melibatkan wang tunai pelbagai mata wang, iaitu, SGD14.71 juta, RM3.125 juta, US$15, 000.00 dan Euro €5,000.00.

“UKSB adalah sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan sebagai kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan untuk Kementerian Dalam Negeri serta mengikut beberapa perjanjian yang dimeterai.

“Tertuduh terlibat dan mempunyai pengetahuan tentang perlantikan UKSB sebagai kontraktor. Pendakwaan akan mengemukakan keterangan lisan dan dokumentar untuk membuktikan fakta ini,” katanya ketika membacakan ucapan pembukaan hari pertama perbicaraan hari ini di hadapan Hakim Mohd. Yazid Mustafa.

Dalam pada itu, Raja Rozela berkata, pihaknya juga akan memanggil sekurang-kurangnya 20 saksi dan bergantung kepada keterangan dokumentar, keterangan terus serta keterangan ikut keadaan, yang mana perlu.

“Mahkamah juga bakal mendengar keterangan beberapa orang saksi yang akan memperincikan fakta dan hal-keadaan tentang bila dan bagaimana wang-wang suapan ini diterima tertuduh.

“Segala keterangan yang bakal dibawa masuk akan membuktikan secara prima facie bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan yang dinyatakan dalam setiap pertuduhan,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid juga didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Ahmad Zahid dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lain, Ahmad Zahid didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan Ahmad Zahid dijadualkan berlangsung selama 16 hari bermula hari ini 25 dan 27 Mei.Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan lanjut pada Jun ini iaitu 1 hingga 3, 14 hingga 18 dan 21 hingga 25. – UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat