Bom Sungai Golok: Empat polis Thai cedera, polis tingkat keselamatan sempadan

- Advertisement -

Kredit foto: Kosmo Digital

KUALA LUMPUR- Empat anggota keselamatan Thailand cedera terkena letupan bom dipercayai diletakkan penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok, Thailand, malam tadi.

Ketua Polis Sungai Golok, Jadsadavit Inprapan, berkata kejadian berlaku pada 12.05 tengah malam, semasa anggota berkenaan dalam perjalanan bagi melaksanakan tugas keselamatan di pekan Sungai Golok dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, polis mengesyaki penjenayah telah menanam bom di laluan kenderaan anggota keselamatan berkenaan.

“Ketika tiba di simpang tiga berdekatan pangkalan, telah berlaku satu letupan dan penyerang turut menembak menggunakan pistol. Anggota keselamatan membalas tembakan itu sebelum penyerang kemudiannya melarikan diri,” katanya kepada Bernama.

Empat anggota yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Sungai Golok bagi mendapatkan rawatan.

Jadsadavit berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian polis menemukan sebuah kenderaan model sedan berwarna putih yang mempunyai nombor plat negara jiran.

Beliau berkata, susulan kejadian pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitar kawasan itu.

Pagi tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu Bernama, polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai datang dari sekitar kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat.

Razarudin berkata, polis juga pada masa sama akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata hubungan bilateral polis dengan pihak berkuasa Thailand amat baik terutamanya melibatkan isu persempadanan negara.

“Keselamatan penduduk yang menetap di kawasan berhampiran sempadan negara perlu diutamakan termasuklah keselamatan anggota polis yang bertugas di kawasan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Razarudin berkata semua ketua polis negeri terutamanya Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak diminta bersiap-siaga berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Sheik Azhar Sheik Omar berkata pihaknya berada dalam keadaan siap-siaga termasuk melakukan satu rondaan jalan kaki dan bermotosikal sepanjang 16 pos statik pasukan itu.

“Pihak kami menjangkakan kejadian berkenaan berlaku di sebelah Thailand di sempadan kawasan Rantau Panjang.

“Secara proaktifnya, kami mempunyai 16 pos statik di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen hingga ke Pos Ular di Pengkalan Kubor, Tumpat,” katanya.

Beliau berkata pasukan sekatan jalan raya turut digerakkan dengan kekuatan enam anggota yang dijalankan secara berterusan dengan pemantauan berkenaan bermula sejak 6 pagi tadi secara fokus manakala tindakan selanjutnya bergantung kepada arahan ketua polis negeri.

Terdahulu, tular klip video berkait insiden berkenaan selepas dimuat naik oleh penduduk tempatan menerusi laman sosial.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat