KUALA LUMPUR – Umno bukan tempat yang menarik untuk kembali, tegas bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Beliau berkata demikian mengulas tajuk portal berita yang didakwa laskar siber proksi Umno bertajuk “Shahril Hamdan mula merisik untuk kembali kepada Umno”.
Menurut bekas Naib Ketua Pemuda Umno itu lagi, beliau tidaklah terhegeh-hegeh untuk kembali ke parti yang telah menggantung keahliannya namun tidak pula bermusuh dengan Umno.
“Berita palsu dari portal cytro Umno. Nak bermusuh takda lah, tapi nak terhegeh balik pun takda juga bro.
“(Umno) bukan tempat yang menarik untuk kembali,” luah Shahril di Instagramnya pada Khamis.
Shahril malah menegaskan, beliau kini gembira dengan apa yang dilakukannya selepas tidak lagi memegang jawatan dalam Umno.
“Gembira di mana saya berada, melakukan hal saya sendiri dan tidak lagi terikat dengan cara-cara kelakar anda,” ujarnya.
Umno menggantung keahlian Shahril selama enam tahun pada Januari 2023.