Anwar Gagal Jadi PM Usah Salahkan Dr Mahathir, Mukhriz Kecam Nik Nazmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Penaja Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberi amaran keras kepada Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa dalam keghairahan anda untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, anda menyalahkan orang lain, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi semua kegagalan PKR.

Katanya, sehingga ke hari ini, Tun Mahathir terus menentang korupsi dan jelas sekali, beliau langsung tidak meraih manfaat dari Langkah Sheraton yang melibatkan ahli-ahli Parlimen yang digugurkan dari PKR serta bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Bersatu.

Ujar Mukhriz sekiranya ada unsur-unsur suapan ganjaran yang menyalahi undang-undang, malah yang tidak beretika, lebih baik bongkar siapa yang menikmatinya setelah mereka mengkhianati mandat rakyat. Yang pasti, bukan Dr Mahathir.

” Saya menyanggah sekeras-kerasnya kenyataan Nik Nazmi yang menyalahkan Dr Mahathir berkenaan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen dari UMNO ke dalam Bersatu dan akibatnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sah dan mendapat mandat rakyat telah dikhianati.

“Harus ditegaskan di sini bahawa keutamaan Dr Mahathir dalam perjuangan politik beliau adalah untuk berbakti kepada negara dan menentang ketidakadilan serta penindasan ke atas warganya.

“Hakikat yang tidak boleh disangkal ialah di sebalik pelbagai rintangan, PH yang diterajui Dr Mahathir menang pada PRU14. Kepimpinan beliaulah yang menyatukan semua pengundi yang sudah jelak dengan kleptokrasi Datuk Seri Najib Razak. Yang lebih ketara bila mana ramai pengundi Melayu yang lazimnya mengundi UMNO kali ini memilih pimpinan Dr Mahathir,” bidas beliau.

Bekas Menteri Besar Kedah itu memberitahu, ternyata Nik Nazmi sendiri bercanggah dalam kecamannya terhadap kepimpinan Dr Mahathir kerana punca sebenar ahli-ahli Parlimen dalam UMNO yang tidak terkait dengan kes mahkamah begitu beriya hendak menyertai PH melalui Bersatu adalah kerana PH menang dan berjaya menjatuhkan kerajaan Najib. Kita menang secara sah, tidak seperti pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memerintah secara menabur habuan tetapi menghukum jika tidak dapat apa yang dihajati demi untuk kekal berkuasa.

“Nik Nazmi, berlaku adillah; anda menuduh Dr Mahathir membuat keputusan secara unilateral tanpa mengendahkan kerangka PH dan mengecam Buku Harapan tetapi pada masa yang sama, anda mengatakan PH mencapai “banyak kejayaan dalam waktu yang singkat, dalam tempoh 22 bulan”, dengan berpandukan kepada aspirasi dan hala tuju yang terkandung dalam Buku Harapan. Yang mana satu? Adakah anda bermaksud bahawa walaupun kepimpinan Dr Mahathir dikatakan pincang, kerajaan sebelum ini berjaya melaksanakan tanggungjawabnya, dan kegagalan semuanya disebabkan oleh Tun Mahathir seorang? Sepatutnya pelantikan menteri-menteri yang melibatkan pemimpin-pemimpin dari puak-puak yang bertelingkah dalam PKR diselesaikan secara dalaman. Kenapa Tun Mahathir yang dipersalahkan, seolah-olah beliau memihak kepada kumpulan tertentu apabila melantik pemimpin-pemimpin kanan PKR sebagai anggota Kabinet?

” Dulu saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Keahlian Bersatu yang diamanahkan untuk menilai permohonan keahlian dan menapis individu-individu bermasalah. Walaupun saya telah menyuarakan bantahan berkenaan kemasukan beberapa Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, Muhyiddin telah menggunakan kuasanya sebagai Presiden untuk menolak cadangan saya kepada Majlis Presiden Bersatu,” katanya.

Mukhriz menambah, PKR tidak patut berpura-pura, kononnya pemimpin-pemimpinnya ikhlas dan budiman semasa PH berkuasa.

” Datuk Che Abdullah Mat Nawi dari PAS telah mendedahkan bahawa Anwar telah cuba mendapatkan sokongan PAS untuk undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir ketika PH masih kerajaan. Itu tindakan menikam dari belakang.

“Dengan ini, saya mengecam sebarang andaian mahupun dakwaan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad pada bila-bila masa, telah melakukan kesalahan atau bertindak tanpa etika, termasuk ketika ahli-ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu dan PH,” tegas Mukhriz.

Terdahulu, Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha pengelola PKR berkata, budaya membeli ahli Parlimen supaya melompat parti yang diamalkan PN dipelajari daripada bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya bekas Perdana Menteri itu menggunakan kaedah sama agar ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu ketika PH menguasai Putrajaya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat