Penyelarasan, Operasi Menyelamat Banjir Shah Alam Lambat Kerana Penduduk Padat – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengakui penyelarasan di antara agensi kerajaan perlahan pada hari pertama banjir di Shah Alam, Sabtu lalu.

Kata beliau, operasi menyelamat juga lambat kerana kepadatan penduduk di bandar raya berkenaan, termasuk ramai yang tinggal di apartmen.

Bagaimanapun, Acryl Sani berkata semua agensi penyelamat awam dapat menyelaras tugas mereka dengan baik pada hari kedua banjir di Shah Alam.

“Memang koordinasi semua agensi agak perlahan pada peringkat awal. Tapi selepas hari kedua, tindakan semua agensi ditingkatkan bagi memastikan mangsa dibantu dan diselamatkan.

“Di Shah Alam, kebanyakan mangsa banjir tinggal di rumah teres, apartmen dan pangsa. Kepadatan penduduknya berbeza berbanding di negeri lain seperti Kelantan serta Pahang.

“Urusan pemindahan berlaku dengan mudah di negeri berkenaan disebabkan lokasi dan bentuk penempatan serta kepadatan penduduk,” katanya pada sidang media perkembangan banjir di Taman Sri Muda di sini, pada Khamis.

Memetik BH Acryl Sani berkata, penempatan padat menjadi cabaran besar untuk mengeluarkan mangsa di kawasan terjejas banjir pada peringkat awal.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sejumlah 66,015 anggota keselamatan pelbagai agensi ditugaskan di tujuh negeri dilanda banjir membabitkan Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Selain itu, katanya, bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk banyak membantu usaha memindahkan mangsa.

“Kami semua agensi terbabit dalam bencana terhutang budi kepada semua NGO, persatuan penduduk yang begitu aktif. Mereka ini wira tak didendang yang bekerja dan menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan penghargaan.

“Hari ini saya ingin mengatakan kami sangat menghargai segala usaha mereka lakukan tanpa minta pengiktirafan.

“Terima kasih kepada mereka semua dan harap akan terus membantu agensi kerajaan serta penduduk setempat,” katanya.