KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak seharusnya dilaksanakan semula dan peruntukan kerajaan untuk perkara itu boleh disalurkan untuk membaik pulih perumahan tentera dan menyediakan peralatan asas untuk Kementerian Pertahanan.
Pendapat itu disuarakan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ini susulan, Kementerian Pertahanan memaklumkan PLKN tidak akan dilaksanakan pada 2024, sebaliknya ia dijangka bermula semula pada 2025.
Mohamad berkata, ini kerana peruntukan untuk melaksanakan program itu tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu.
“Tak payah buat, full stop.
“Duit tu guna untuk upgrade (naik taraf) perumahan berek tentera dan peralatan asas,” ujar Khairy.
Beliau malah berpandangan, PLKN boleh diadakan semula atau dimansuhkan sahaja.
“PLKN ni ada ok, tak ada pun tak apa.
“Soal kenegaraan pupuk di sekolah dan dalam aktiviti sukarela atau beruniform.
“Ini pun nak kena bagitahu. Ish,” ujar Khairy lagi.
Dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan Mohamad menambah, program yang dimansuhkan pada 2018 itu telah diluluskan oleh Kabinet, untuk kementerian memulakan kajian bagi menghidupkan semula PLKN.
Jelas beliau, pelbagai pilihan telah dikaji termasuk cadangan agar melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada 31 Oktober lalu, Mohamad dilaporkan berkata, PLKN akan dilaksanakan menerusi dua fasa.
Menurutnya, Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM), yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.
Manakala, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menyertai Fasa 2 di kem latihan Askar Wataniah sedia ada.
Kementerian Pertahanan kemudian dalam kenyataan berasingan memaklumkan hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani PLKN sekiranya program itu dilaksanakan semula.