KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan masa semakin suntuk untuk memulihkan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan prestasi hambar gabungan itu dalam beberapa pilihan raya negeri, kata Pengerusi Urimai, P Ramasamy.
Beliau berkata, PH perlu melakukan perubahan besar dalam tempoh setahun sekiranya mahu kembali menjadi pencabar serius kepada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada peringkat nasional.
Menurutnya, keputusan pilihan raya di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan perkembangan yang tidak memihak kepada PH, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan gabungan itu mengubah landskap politik negara.
“PH mempunyai tempoh tepat setahun untuk melakukan langkah-langkah yang perlu jika mahu dianggap sebagai pencabar bagi kuasa di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ramasamy menyifatkan PKR dan Amanah sebagai komponen paling lemah dalam PH, manakala DAP masih mempunyai kedudukan relatif lebih kukuh, meskipun sokongannya banyak bergantung kepada pengundi Cina dan sebahagian masyarakat India.
Beliau turut mendakwa sokongan masyarakat India terhadap DAP semakin merosot susulan penyingkiran pemimpin India sebelum ini, selain menyatakan sebahagian pengundi Cina mula menunjukkan minat semula terhadap MCA.
Mengulas cabaran dihadapi Anwar, Ramasamy berkata Perdana Menteri perlu memimpin usaha memulihkan PKR dan Amanah serta mempertimbangkan pembentukan gabungan politik lebih besar bagi mengekang kekuatan BN-PN.
“Reformasi sudah tidak lagi relevan; segalanya sudah terlalu lewat,” katanya sambil mendakwa Anwar telah mensia-siakan peluang dan popularitinya untuk memperkukuh kedudukan PH.
Beliau berpandangan PH tidak mampu berdepan kekuatan gabungan politik ‘biru’ dan ‘hijau’ secara bersendirian, justeru perlu mendekati kuasa politik lain yang tidak berpihak kepada PH mahupun BN-PN.
Ramasamy bagaimanapun mempersoalkan sama ada Anwar masih mempunyai ruang dan keupayaan untuk membentuk kerjasama politik lebih besar itu sebelum PRU akan datang.
“Sudah pasti, Anwar tidak mempunyai kelebihan masa,” katanya.



