Mujahid dan NGO Hak Asasi Manusia Pertikai ‘Darurat Covid-19’

- Advertisement -

SHAH ALAM – Suhu politik negara kembali panas hari ini susulan spekulasi yang mengatakan mesyuarat Kabinet telah membuat keputusan untuk mencadangkan pengisytiharan darurat bagi menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Perkembangan semasa politik negara turut mendapat perhatian netizen di media sosial apabila istilah darurat menjadi trending di Twitter dengan mendapat lebih 49,000 tweet sejak spekulasi berkenaan mula dilaporkan petang ini.

Antara yang memberikan ciapan di Twitter berkenaan isu tersebut ialah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang mempersoalkan tujuan sebenar di sebalik keputusan Kabinet itu.

“Satu lagi usaha hebat untuk menutup ketidakcekapan dan meneruskan kutukan tindakan Sheraton… darurat untuk selamat siapa?” menurut ciapan tersebut hari ini.

Selain itu, pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International Malaysia dalam ciapannya petang ini turut berkongsi persoalan yang sama ditimbulkan oleh Mujahid.

“Siapakah yang hendak dilindungi jika darurat ini dilaksanakan?

“Kita berada dalam krisis kesihatan, bukan dalam keadaan darurat. Sebuah krisis kesihatan memerlukan tindak balas yang juga dalam aspek kesihatan awam.

“Perlaksanaan darurat memberikan kuasa yang berleluasa kepada kerajaan, ia akan mengancam prinsip semak dan imbang serta membahayakan hak asasi kita,” menurut ciapan tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Beliau dilihat tiba di pekarangan Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang kira-kira jam 4.40 petang tadi.

Terdahulu, Muhyiddin bersama menteri Kabinet bermesyuarat selama tiga jam di Bangunan Perdana Putra pagi tadi.

Turut kelihatan, kenderaan yang membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun keluar bersama kenderaan yang dinaiki menteri lain meninggalkan bangunan itu sekitar jam 12.45 tengah hari. – Sinar

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,557FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat