KUALA LUMPUR – AirAsia dilaporkan berdepan tekanan aliran tunai susulan peningkatan kos bahan api penerbangan, menurut laporan Bloomberg yang disiarkan The Straits Times.
Laporan itu mendakwa AirAsia X telah ketinggalan dalam beberapa pembayaran kepada pembekal dan turut memohon penangguhan bayaran sewaan bagi lebih 16 pesawat daripada beberapa syarikat pajakan.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, Rolls-Royce Holdings memaklumkan bahawa syarikat penerbangan tambang rendah tersebut terlepas pembayaran di bawah Perjanjian TotalCare bagi penyelenggaraan enjin pesawat.
Rolls-Royce membekalkan dan menyelenggara enjin bagi kira-kira satu persepuluh daripada keseluruhan armada AirAsia yang dianggarkan sekitar 250 pesawat.
Dalam masa sama, AirAsia turut dilaporkan meminta beberapa syarikat pajakan pesawat menangguhkan bayaran sewaan membabitkan lebih 16 pesawat, dengan alasan kenaikan kos bahan api susulan konflik Iran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam, dalam satu wawancara berasingan sebelum ini berkata beberapa syarikat pajakan memahami keadaan tersebut dan memberikan tempoh tambahan kepada syarikat untuk membuat pembayaran.
Pengasas bersama AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, bagaimanapun menegaskan syarikat itu tidak berada dalam masalah kewangan serius.
Menurut beliau, sekiranya AirAsia benar-benar menghadapi masalah kewangan, syarikat itu tidak mungkin dapat memperoleh pembiayaan daripada institusi seperti Deutsche Bank.
AirAsia sebelum ini berjaya mendapatkan pembiayaan kredit swasta berjumlah AS$230 juta daripada Deutsche Bank pada awal tahun ini.
Tony turut menyifatkan isu berkaitan bayaran pajakan sebagai perkara biasa dan berkata tiada perkara luar biasa berlaku.
Beliau juga berkata AirAsia mungkin mempunyai pertikaian dengan Rolls-Royce berhubung layanan terhadap enjin pesawat milik syarikat itu.
Rolls-Royce bagaimanapun dilaporkan enggan mengulas perkara berkenaan, manakala beberapa wakil syarikat pajakan pesawat turut tidak memberi maklum balas.
Kenaikan harga bahan api menjadi cabaran besar kepada AirAsia selepas syarikat itu pada Mei lalu melaporkan kerugian suku tahunan terbesar dalam tempoh tiga tahun.
Menurut Bloomberg Intelligence, tahap hutang AirAsia juga tinggi berbanding pendapatan dan ekuiti syarikat penerbangan tambang rendah lain di Asia.
Bagaimanapun, Tony kekal optimis terhadap prospek syarikat dan baru-baru ini mengumumkan rancangan pembelian 150 pesawat baharu Airbus A220 dalam perjanjian bernilai berbilion dolar.
Beliau berkata AirAsia pernah melalui krisis besar ketika pandemik COVID-19 melalui penstrukturan semula hutang dan yakin syarikat itu mampu mengharungi tekanan akibat konflik Iran.
“Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di Timur Tengah, tetapi kita perlu mengambil pandangan bahawa ia tidak akan berlarutan selama dua tahun,” katanya seperti dilaporkan.
Harga bahan api jet dilaporkan telah menurun daripada paras tertinggi pada akhir Mac, namun masih kekal pada tahap tinggi dari segi sejarah.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan syarikat penerbangan global berdepan tambahan kos bahan api sebanyak AS$100 bilion tahun ini, yang boleh mengurangkan hampir separuh keuntungan industri pada 2026.
AirAsia yang tidak melaksanakan lindung nilai bahan api menyaksikan harga sahamnya jatuh lebih 30 peratus sejak tercetusnya konflik Iran, sebelum kembali pulih selepas terdapat petunjuk rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran yang menurunkan harga minyak.
Laporan itu turut menyebut tekanan yang sama turut menjejaskan beberapa syarikat penerbangan tambang rendah lain di dunia, termasuk Spirit Aviation Holdings di Amerika Syarikat dan SpiceJet di India.


