KOTA BHARU, 18 Jun – Tourism Malaysia bersama AirAsia, Tourism Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini menyambut ketibaan penerbangan terus sulung yang menghubungkan Jakarta, Indonesia dengan Kota Bharu, Kelantan.
Penerbangan AirAsia AK2354 yang menggunakan pesawat Airbus A320 berkapasiti 180 tempat duduk selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada jam 3.50 petang, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh ketersambungan serantau sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Laluan baharu ini dijangka meningkatkan aksesibiliti antara Indonesia dan Pantai Timur Malaysia selain membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan serta kerjasama ekonomi.
Majlis sambutan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor; Ketua Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Asia Tenggara Tourism Malaysia, Baizuri Baharum; Pengarah Urusan MAHB, Dato’ Mohd Izani Ghani; serta Pengarah Global dan Government Affairs AirAsia, Zamani Rafique.
Para penumpang disambut dengan persembahan kebudayaan yang menampilkan keunikan warisan Malaysia. Penerbangan sulung itu membawa seramai 117 penumpang dengan faktor muatan kira-kira 63 peratus daripada kapasiti pesawat.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, pelancaran laluan terus Jakarta–Kota Bharu merupakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan penerbangan serantau Malaysia.
“Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran sumber utama negara dan laluan ini menyediakan akses yang lebih mudah kepada pelawat untuk menikmati pengalaman budaya, warisan serta eko-pelancongan di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan tersebut juga dijangka menyokong pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan serta memperkukuh hubungan rakyat antara Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, Pengarah Tourism Kelantan, Azwan Ab Rahman berkata, laluan baharu itu berpotensi meningkatkan jumlah pelancong Indonesia ke negeri berkenaan dan mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya serta warisan utama negara.
Menurutnya, pelancong dari Jakarta berpeluang menikmati pelbagai produk pelancongan unik di Kelantan seperti Pasar Siti Khadijah, Masjid Kampung Laut, Kampung Kraftangan dan Stong Geopark.
“Selain itu, Kota Bharu juga berpotensi menjadi pintu masuk strategik ke destinasi lain termasuk bandar-bandar utama di selatan Thailand seperti Hat Yai, Narathiwat dan Pattani, serta pulau-pulau terkenal Pantai Timur seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas,” katanya.
Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra berkata, syarikat penerbangan itu komited menghubungkan destinasi yang kurang mendapat liputan dengan hab utama serantau bagi merangsang pertumbuhan pelancongan dan ekonomi.
“Laluan ini menyediakan akses lebih luas kepada pelawat dari salah satu pasaran utama kami, selain memperkenalkan kekayaan budaya, warisan dan tarikan unik Kelantan kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Izani berkata, pembukaan laluan tersebut membuktikan impak pelaburan strategik dalam infrastruktur lapangan terbang terhadap peningkatan kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, projek pembesaran terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang kini mampu mengendalikan empat juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta sebelum ini menyediakan asas yang kukuh untuk menyokong operasi antarabangsa dan pertumbuhan trafik pada masa hadapan.
Sehingga April 2026, sebanyak 634 penerbangan mingguan dengan kapasiti lebih 114,806 tempat duduk seminggu direkodkan antara Malaysia dan Indonesia. Pengenalan laluan terus Jakarta–Kota Bharu dijangka terus memperkukuh aliran pelancongan, perjalanan perniagaan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.
Laluan baharu itu turut meningkatkan peranan Kelantan sebagai pintu masuk utama ke Pantai Timur Malaysia serta hab transit strategik bagi pelawat dari selatan Thailand melalui pintu sempadan utama seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.



