SHAH ALAM – Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu didakwa sekali lagi, kali ini di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 2 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM130,000 daripada sebuah syarikat kontraktor tahun lalu.
Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rofiah Mohamad.
Bagi pertuduhan pertama, Azhar didakwa menerima suapan RM50,000 daripada Pengarah Urusan Aqsa Solution Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat FEHM Entity Sdn Bhd dipilih sebagai rakan strategik dan kontraktor selenggara bagi peralatan perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan Kementerian Pertahanan.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu dalam kereta Proton rasmi berwarna kelabu miliknya di Lorong VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada Ogos 2019.
Bagi pertuduhan ke-2, Azhar didakwa menerima suapan RM80,000 daripada Elias yang juga pengarah urusan FEHM Entity melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid bagi tujuan sama.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Kota Damansara Driving Range, Petaling Jaya, dekat sini pada hujung 2019.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat menawarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap minggu pertama mulai bulan depan.
Bagaimanapun, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya tidak bekerja sejak hujung Februari lalu dan menanggung isteri serta 7 anak, termasuk 2 yang masih bersekolah serta ibu mentuanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 27 Nov ini untuk pengurusan kes.
Pada 15 Okt lalu, Azhar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 5 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.35 juta. – Bernama