20 November pengurusan kes lucut hak harta UMNO Bahagian Pekan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Permohonan Pendakwa Raya untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kes lucut hak harta UMNO Bahagian Pekan berjumlah RM700,000, ditetapkan bagi pengurusan kes pada 20 November ini.

Pengurusan kes itu yang sepatutnya ditetapkan hari ini ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, berkuat kuasa pada 14 hingga 27 Oktober ini.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Rashid Sulaiman ketika dihubungi media berkata, pihak pendakwaan dimaklumkan oleh Mahkamah Tinggi petang semalam melalui e-mel.

Pada 17 September lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SPRM untuk melucut hak wang RM700,000 yang disita daripada akaun UMNO Bahagian Pekan yang didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah mendapati SPRM gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian untuk melucut hak wang itu mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam permohonannya untuk melucut hak wang berkenaan, Pendakwa Raya menamakan UMNO Bahagian Pekan dan 40 individu lain sebagai responden, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Datuk Mohd Nizar, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan.

Permohonan itu adalah mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, SPRM memfailkan permohonan melucut hak harta terhadap 42 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB dan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

-Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat