KUALA LUMPUR, – Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam siri insiden keselamatan yang berlaku di wilayah sempadan selatan Thailand, melibatkan Yala, Pattani dan Narathiwat pada malam Sabtu.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan pihaknya sedang memantau situasi dengan teliti dan akan mengeluarkan perkembangan terkini sekiranya diperlukan.
Menurut kenyataan itu, pasukan keselamatan tempatan telah meningkatkan kawalan serta langkah keselamatan di kawasan terjejas, termasuk mengenakan perintah berkurung sementara.
Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla juga terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi memantau perkembangan serta menjaga keselamatan rakyat Malaysia di wilayah berkenaan.
“Rakyat Malaysia yang menetap, melalui atau bercadang melakukan perjalanan ke dan dari wilayah sempadan selatan Thailand dinasihatkan supaya meningkatkan langkah berjaga-jaga, sentiasa berwaspada dan mematuhi semua nasihat keselamatan, perintah berkurung serta arahan pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Bagi memudahkan komunikasi dan pemberian bantuan konsular, rakyat Malaysia turut digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing melalui portal e-Konsular.
Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau berdepan kecemasan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok atau Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.



