PITAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah bersama isteri, Datin Seri Asiah Udian dan anak bongsu mereka, Aswady Ruddy, secara rasmi memeluk Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah di kediaman mereka di Kampung Salimpodon, di sini, hari ini.
Memetik laporan Sabah Media, majlis lafaz syahadah itu disempurnakan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isterinya, Datin Seri Juliah Salag.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.
Selepas melafazkan syahadah, majlis diteruskan dengan tazkirah, laungan azan, bacaan al-Quran serta selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Ruddy, 58, berkata keputusan memeluk Islam merupakan kemuncak perjalanan mencari hidayah sejak kira-kira 10 tahun lalu dan dibuat atas kerelaan sendiri tanpa sebarang paksaan, ugutan atau kepentingan politik.
“Ini semua hidayah yang sampai. Saya sangat gembira apabila melafazkan dua kalimah syahadah. Apa yang saya kejar sekarang ialah pegangan hidup kerana segala yang ada di dunia hanya sementara, manakala yang kekal ialah amal ibadah,” katanya seperti dipetik Sabah Media.
Menurut Ruddy, empat daripada enam anaknya telah terlebih dahulu memeluk Islam, manakala isterinya juga beberapa kali mengajaknya untuk bersama-sama memeluk agama itu.
Beliau berkata penglibatannya dalam pelbagai program berkaitan Islam termasuk menghadiri majlis berbuka puasa turut mendekatkannya kepada agama berkenaan.
“Anak-anak kita sudah Islam, saudara-mara sudah Islam. Saya juga sering menghadiri majlis berbuka puasa dan banyak terlibat dengan perkara berkaitan Islam.
“Kalau kaki kiri saya sudah berada dalam Islam, saya cuma mahu melangkah masuk sepenuhnya,” katanya.
Ruddy turut berkongsi bahawa beliau sebelum ini sering bersedekah kepada individu yang menunaikan haji dan umrah sambil berdoa agar suatu hari nanti diberikan peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Beliau kini berhasrat mendalami ajaran Islam termasuk belajar mengaji dan merancang menunaikan umrah pada tahun ini.
Pada masa sama, Ruddy menegaskan keputusannya itu tidak mengubah penghormatannya terhadap penganut agama lain dan beliau terlebih dahulu mendapatkan restu anggota keluarganya yang bukan beragama Islam.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan penghijrahan Ruddy sebagai satu detik bermakna dan kehadirannya pada majlis tersebut adalah bagi memberikan sokongan moral.
“Alhamdulillah, syukur. Saya dapat bersama-sama dalam majlis yang cukup bermakna atas penghijrahan dan kemasukan Yang Berhormat Datuk Ruddy Awah yang memeluk agama Islam.
“Ini adalah sesuatu yang saya rasa beliau mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi kita beri beliau sokongan moral.
“Saya tidak mahu perkara ini dijadikan isu kerana ini adalah pilihan peribadi di antara beliau dengan Allah SWT,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim sekitar Pitas.
Ruddy bersama isteri dan anaknya kemudian menunaikan solat Zohor secara berjemaah, yang menjadi solat Zohor pertama beliau selepas memeluk Islam.



