KUALA LUMPUR – Umno tidak berganjak terus mendukung institusi Raja-raja Melayu meskipun ada pihak yang meroyan dan mempersoalkan kenapa tidak dilantik sebagai Perdana Menteri semula.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketidakpuasan hati pihak berkenaan sehingga Yang di-Pertuan Agong ke-16 sanggup dipersenda, mengundang murka pihak istana.
“Ditakdirkan, pada PRU ke-14 kita kecundang. Model perkongsian kuasa Barisan Nasional(BN), cuba dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan pada ketika itu. Walakin, perkongsian mereka tidak bertahan lama. Ini kerana prinsip perkongsian mereka dipenuhi dengan percaturan politik dan rasa saling tidak percaya yang akhirnya menyaksikan kita melalui lima tahun dalam keadaan ketidak-stabilan.
“Selepas PRU ke-15 lalu, sekali lagi politik Malaysia diuji. Tiada mana-mana parti atau gabungan yang mempunyai cukup jumlah untuk membentuk kerajaan. Dengan hikmah dan hematnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, kita meneruskan asas perkongsian kuasa.
“Walaupun ada yang meroyan dan mempersoal kenapa tak dilantik menjadi Perdana Menteri semula. Hingga Paduka Tuanku sanggup dipersenda, mengundang murka pihak istana.
“Hakikatnya, perkongsian kuasa ini ditempa dengan mewajibkan semua pihak menerima keindukan Melayu dan Islam,” katanya ketika ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 pada Jumaat.
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, prinsip itu sama semasa pembentukan BN 50 tahun lalu, inilah juga pendirian Umno.
“Kita katakan kepada parti Gerakan dan PPP ketika itu, yang agak keras mahukan hak sama rata.
“Penegasan ini jugalah kita nyatakan kepada DAP dua tahun lalu. Malah jika kerjasama politik masa depan kita turut melibatkan mana-mana pihak lain, kita tetap dengan pendirian ini.
“Suka saya tegaskan, seandainya, dalam kita menjalin kerjasama dengan mana-mana parti jika martabat Islam dan perjuangan agenda Melayu cuba dirungkai atau dicairkan kita tidak akan teragak-agak membuat keputusan politik untuk menghentikan kerjasama berkenaan,” kata Zahid.
Mengulas lanjut, resam politik, bila satu pihak mentadbir, tentu ada pihak yang akan sentiasa berusaha menggugat.
“Walaupun telah dijelaskan, serangan kepada Umno kerana berada dalam kerajaan terus didendangkan.
“Naratif Melayu dan Islam terancam sentiasa dimainkan. Mereka menanam kebencian, menyuntik kejelekan dan menebal kecurigaan. Kebenarannya, kita tidak pernah mengubah atau mencairkan matlamat penubuhan Umno dek kerana kita menjadi sebahagian kerajaan.
“Kita bukan seperti mereka yang saya sifatkan sebagai parti kura-kura, menyorokkan kepala dan sanggup menjual prinsip tatkala berada di tampuk kuasa,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.