KUALA LUMPUR – Umno bebas memilih siapa sahaja rakan kongsi politik dan tidak pernah disekat untuk memasang cita-cita besar.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Umno berhak kembali dominan dengan jalan yang dilakar sendiri.
“Kerana kita adalah parti yang bebas merdeka, kita dengan cara kita. Kita mesti tanamkan di minda dan hati bahawa parti kita bebas memilih siapa sahaja rakan kongsi kita.
“Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kita tidak pernah disekat untuk memasang cita-cita besar. Kita berhak kembali dominan dengan jalan yang kita lakar. Kerana kita adalah parti yang bebas merdeka.
“Lontaran pandangan ini janganlah ditafsir sebagai keangkuhan. Sebaliknya ia adalah pendirian tegas, dalam kita mahu memastikan Umno terus relevan. Pendirian ini juga bagi menjamin rakyat tidak diperjudikan dengan politik emosi atau sentimen yang merugikan,” katanya ketika ucapan dasar Presiden pada PAU 2024, pada Jumaat.
Zahid malah mengakui insaf dan menegaskan Umno bukan maksum sifatnya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jika sebelum ini uMNO mengambil pendekatan go solo, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa?
Bahkan berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada? Dengan pertambahan pengundi baharu pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka? soal Zahid.
“Ahli Umno sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana. Yang jauh lebih besar peratusannya. Yang jauh lebih ramai jumlahnya.
“Umno mesti keluar dari “echo chamber” dan zon selesa. Kita mesti berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang beragam agar kita tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks.
“Jangan kita ingat, kita dominan seperti dahulu lagi. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri. Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti.
“Jika kita ingin membentuk persefahaman pula, apakah bentuk kerjasama yang hendak diterjemahkan. Apakah kerjasama sebelum memasuki gelanggang pilihan raya atau selepas pilihan raya barulah dibuat pertimbangan. Kesemua ini memerlukan percaturan semasak-masaknya.
“Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan,” kata Zahid.
Justeru untuk menggapai hasrat itu, Zahid menggariskan tiga rukun politik bagi mendepani laman baharu dinamika dan realiti semasa politik tanah air.
“Menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen bagi memastikan Umno menjadi parti yang membentuk kerajaan.
“Selain itu, membuka pilihan untuk bekerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras dan memastikan politik sederhana dengan mengambil jalan tengah sebagai model kesepakatan yang berupaya memelihara kestabilan negara.
“Saya gariskan tiga rukun ini kerana perubahan pola politik dan sikap pengundi, seolah-olah telah memetakan komposisi kerusi dalam Parlimen. Berdasarkan senario semasa, 222 kawasan Parlimen kini diwakili oleh hampir seimbang antara parti-parti utama,” kata Pengerusi BN itu lagi.