KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak akan bergerak solo berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) sebaliknya bersama Pakatan Harapan (PH) namun akan menggunakan logo dacing BN.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, meskipun memilih menggunakan logo parti sendiri namun BN akan berunding dengan PH bagi mengelakkan pertindihan kerusi ditandingi dan pertembungan jentera parti.
“Kita melihat bahawa dulu kita dalam BN, kita bekerjasama dengan 13 parti dalam BN. Kini kita menjadi salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Oleh sebab itu, untuk mengelakkan pertindihan kerusi umpamanya atau mengelakkan jentera bertembung kerana pertindihan kerusi, maka kita harus bekerjasama, tapi kita tetap menggunakan lambang BN dalam pertandingan (PRU),” kata Zahid ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden, di WTC Kuala Lumpur pada Jumaat.
Timbalan Perdana Menteri itu juga memaklumkan aturan kerusi komponen Kerajaan Perpaduan itu juga terpakai untuk gerak kerja PRK DUN Mahkota.
“Ini juga terlihat di PRK Mahkota, persetujuan kedua-dua pihak iaitu menghormati di mana kerusi yang dipegang sesebuah parti itu hendaklah diserahkan kepada parti berkenaan..walaupun ada suara-suara yang menuntut kerusi itu.
“Itulah maksud saya…kita tidak bergerak secara solo ertinya kita bekerjasama tapi menggunakan lambang kita sendiri,” jelas Zahid lagi.
Dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024, Zahid ada mempersoalkan adakah pendekatan go solo langkah terbaik dalam keadaan politik semasa?
“Jika sebelum ini kita mengambil pendekatan go solo, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa? Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada? Dengan pertambahan pengundi baharu pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?
“Ahli Umno sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana. Yang jauh lebih besar peratusannya. Yang jauh lebih ramai jumlahnya.
“Umno mesti keluar dari “echo chamber” dan zon selesa. Kita mesti berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang beragam agar kita tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks. Jangan kita ingat, kita dominan seperti dahulu lagi. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri. Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti.
“Jika kita ingin membentuk persefahaman pula, apakah bentuk kerjasama yang hendak diterjemahkan. Apakah kerjasama sebelum memasuki gelanggang pilihan raya atau selepas pilihan raya barulah dibuat pertimbangan.
“Kesemua ini memerlukan percaturan semasak-masaknya. Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan,” ujar Zahid.