KUALA LUMPUR – Umno tidak akan diam dan berganjak dalam usaha memperjuangkan keadilan kepada Datuk Seri Najib Razak meskipun perkara itu mungkin akan ditentang oleh komponen Pakatan Harapan (PH), tegas Menteri Pertahanan.
Menurut Datuk Seri Khaled Nordin, hal perjuangan Umno terhadap Najib tidak wajar diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
“Penzahiran pendirian Umno dalam isu Najib, Umno tetap melihat bahawa Najib telah tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Jadi atas sebab itu, Umno berpendirian supaya keadilan sebenarnya diberikan kepada Najib,” katanya ketika ditemui media ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di WTC, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Khaled yang juga Naib Presiden Umno ketika ditanya bagaimana sekiranya perjuangan Umno menuntut keadilan kepada Najib bakal mendapat tentangan daripada komponen PH yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan, beliau tegas mengingatkan tidak ada mana-mana pihak boleh menidakkan suara Umno.
“Akan ‘clash’ dengan pendirian PH? Itu tidak bermakna Umno perlu tunduk. Kalau pun ada yang lain-lain mempunyai pandangan, pendirian berbeza itu tidak bermakna Umno perlu diam.
“Umno perlu terus membawa perkara-perkara yang menjadi pegangan keputusan-keputusan kita.
“Samalah seperti bila Presiden Umno (Zahid) menyatakan bahawa ada prinsip-prinsip asas Umno bahawa hanya akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima prinsip-prinsip asas pejuangan Umno iaitu mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu dan kedudukan Raja-raja dan hak istimewa orang Melayu.
“Jadi sesiapa yang bersedia menerima itu maka dia bolehlah bekerjasama dengan Umno,” tegas Khaled lagi.
Ujarnya dalam hal membabitkan Najib, tidak wajar ada mana-mana pihak menidakkan Umno bersuara terutama terkait isu keutamaan Umno.
“Hal Najib itu kita punya keputusan, sudah tentu terutamanya bagi mana-mana pihak menidakkan Umno bersuara dalam hal yang menjadi keutamaan Umno,” katanya.
Sebelum itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan usul pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merangkap bekas Presiden Umno paling banyak diterima pada Perhimpunan Agung Umno kali ini.
Asyraf berkata usul mengenai pembebasan Najib yang terkenal dengan gelaran ‘bossku’ diperoleh daripada 72 bahagian UMNO.
“Usul diterima daripada 171 bahagian dan usul tertinggi diperoleh daripada 72 bahagian ialah untuk kita terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh Datuk Seri Najib Razak.
“Sesungguhnya, bossku terperangkap di sebalik tirai besi namun suara ikhtiar Umno tidak akan pernah terhenti, malah berikan kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi.
“Justeru, saya memohon untuk kita terus berdoa kerana doa inilah senjata kita. Semoga Allah melembutkan hati dan membukakan jalan agar pembebasan Datuk Seri Najib ini berlaku akhirnya, mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Hakikatnya kuasa bukan di tangan kita tetapi iman kita meyakini Allah adalah pemilik hati manusia, Insya-Allah,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2024 pada Jumaat.