KUALA LUMPUR – Perbezaan pandangan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan tidak boleh disamakan dengan keingkaran atau penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, anggota Lembaga Pengampunan mempunyai tanggungjawab memberikan pandangan secara jujur, berasas dan bertanggungjawab dalam proses pertimbangan pengampunan, meskipun terdapat perbezaan pendapat.
“Perbezaan pandangan ketika mesyuarat tidak dengan sendirinya membuktikan keingkaran atau penderhakaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Mujahid menegaskan beliau tetap menjunjung kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta menghormati kuasa prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, keputusan yang dimuktamadkan secara sah perlu dihormati dan dilaksanakan mengikut undang-undang.
Justeru, sebarang dakwaan keingkaran perlu dinilai berdasarkan rekod lengkap, tindakan sebenar dan kedudukan undang-undang, bukannya sekadar dilabelkan sebagai isu politik.
Mengulas penularan dokumen yang didakwa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, beliau berkata pihak berkuasa berkaitan wajar memberikan pengesahan rasmi mengenai status penyahklasifikasian, kesahihan serta kelengkapan salinan dokumen berkenaan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan terburu-buru dan mengelakkan institusi diraja daripada terheret dalam pertikaian kepartian.
Mujahid menegaskan pendiriannya berteraskan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Menjunjung kuasa pengampunan dan memberikan nasihat yang jujur ialah dua tanggungjawab yang tidak bercanggah antara satu sama lain,” katanya.



