Kalau Tak Rosak Buat Apa Tukar?

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Pilihanraya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi semakin terasa bahangnya.

Dengan berlakunya perubahan landskap politik pasca PRU-15 tahun lepas, sudah pasti akan menjadikan pertandingan kali ini lebih menarik.

Paling mengujakan adalah untuk melihat prestasi gabungan Madani (PH-BN) yang buat pertama kalinya bersama-sama bergerak sebagai satu entiti politik.

Begitu juga dengan gabungan PAS-PPBM di dalam Perikatan Nasional yang kelihatan begitu kuat sokongannya dari kalangan orang Melayu-Islam di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara tanah air.

Sudah tentu kempen pada kali ini akan menjadi lebih meriah dan kita sebagai rakyat dapat melihat bagaimana pertembungan dua kuasa besar politik Malaysia dalam mengharungi PRN akan datang.

Saya sebagai seorang pemerhati politik amatur merasakan bahawa, sewajarnya para pengundi bersikap pragmatik dalam memilih wakil-wakil mereka di dalam PRN pada kali ini.

Pemilihan mana-mana wakil rakyat seharusnya berdasarkan kebolehupayaan mereka memberi khidmat dengan baik dan bukannya bergantung kepada retorik politik dan sentimen semata-mata.

Sebagai contoh di Shah Alam, Selangor yang mana penulis menetap dan bekerja, kerajaan Pakatan Harapan sejak dari pemerintahan Tan Sri Khalid Ibrahim sehinggalah kini di bawah Dato’ Seri Amiruddin Shaari boleh dikatakan telah melaksanakan pentadbiran yang efektif dan efisyen.

Malah, di Kawasan Dun Kota Anggerik, Najwan Halimi juga dikenali sebagai seorang wakil rakyat yang peka dengan aduan dan segera menyelesaikan sebarang permasalahan yang sampai kepadanya.

Penulis sendiri pernah mengadu mengenai masalah awam secara terus kepada beliau dan permasalahan itu diselesaikan dengan pantas tanpa bertangguh.

Dun Kota Anggerik juga lebih bertuah kerana mantan ADUN YB Senator Yaakob Sapari, turut terlibat secara langsung dalam hal-hal kemasyarakatan, terutamanya sering berinteraksi dengan khalayak dalam membincangkan isu pembangunan sosial dan semasa.

Pendek kata, Selangor (untuk sebahagian besarnya) sedang ditadbir oleh mereka yang jelas proaktif dan dinamik dalam hal-hal pembangunan dan kebajikan rakyat.

Penulis tidak tahu mengenai isu di kawasan lain, tetapi bagi kawasan Kota Anggerik, Shah Alam dan Negeri Selangor, sudah pasti Pakatan Harapan (bersama gabungan Barisan Nasional) adalah pilihan terbaik untuk menerajui kerajaan selepas Pilihanraya Negeri akan datang.

Mungkin juga calon-calon wakil rakyat dari Perikatan Nasional dan parti-parti lain turut mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu, namun adalah sukar untuk kita mendapat kepastian sejauhmana mereka sanggup berkhidmat dan adakah kualitinya sebaik wakil-wakil rakyat yang ada pada ketika ini.

Cuma, ada baiknya untuk para pengundi Selangor agar tidak merisikokan pentadbiran negeri dan diharap tidak bereksperimentasi dengan pemilihan wakil-wakil rakyat di atas kertas undi di dalam PRN pada kali ini.

Kekalkan sahaja Selangor di bawah Pakatan Harapan, yang telah terbukti mempunyai track record yang baik dan berupaya untuk mentadbir dengan efektif.

Kita di Selangor kini mempunyai barisan kepimpinan yang benar-benar berkualiti dan sewajarnya mengekalkan para pemimpin sedia ada.

Buat apa kita tukar sesuatu yang tidak rosak dengan perkara yang belum lagi dapat dipastikan kualitinya.

Sebagai penduduk/pengundi di salah sebuah negeri paling maju di Malaysia, perkara utama yang perlu kita ambil kira dalam memilih wakil pada PRN pada kali ini adalah keupayaan pimpinan untuk terus memajukan negeri dan bukannya memilih golongan yang sentiasa hanya mahir bermain sentimen tanpa mempunyai apa-apa perancangan kukuh demi pembangunan sosio-ekonomi Negeri Selangor.

**Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff adalah seorang peguam yang menetap di Shah Alam, Selangor.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat