Kembara negeri bersejarah

- Advertisement -

TIGA hari dua malam, seakan tidak puas ‘mengembara’ ke destinasi pelancongan tempatan yang cukup terkenal bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah pelancong luar negara.

Malah, dunia malam di pusat bandaraya itu yang mempunyai pelbagai tarikan sejarah negara terutama era penjajahan Portugis begitu hidup dengan kilauan lampu yang dipasang.

Itulah antara perkara yang dikongsikan pengembara dan jurufoto telefon pintar, Muhd Zarnizar Mohamad atau lebih mesra disapa Zarnizar ketika berada di Bandaraya Melaka.

“Jujurnya selama tiga hari dua malam saya berada di destinasi itu berasa tidak puas. Apatah lagi pemandangan pada sebelah malam yang menyaksikan Bandaraya Melaka yang cukup hidup.

“Mungkin pada segelintir orang merasakan Bandaraya Melaka adalah destinasi yang sudah cukup untuk dikunjungi sekali, tetapi tidak untuk saya kerana ia begitu cantik dan hidup. Rasa puas merakam gambar terutama pada sebelah malam,” katanya.

Zarnizar berkata, antara destinasi pelancongan yang dilawatinya ialah Kampung Morten. Lokasi itu baginya cukup unik dengan ‘persembahan’ karya seni bina rumah-rumah tradisional Melaka yang masih utuh.

“Sebagai seorang meminati dunia seni, rumah-rumah tradisional di Kampung Morten ini adalah wajib untuk dilawati jika berkunjung ke Bandaraya Melaka.

“Dari segi rekaan lama seperti struktur tangga dan warna-warnanya, amat memukau pemandangan pengunjung yang datang ke kampung ini,” katanya.

Katanya, tidak lengkap jika ke Bandaraya Melaka sekiranya tidak mengunjungi bangunan tinggalan era penjajah seperti A Famosa dan Stadhuys.

“Walaupun sudah berkali-kali melewati bangunan era penjajahan ini, bagi saya ia masih lagi malar segar untuk dilihat keunikan rekaan seni bina.

“Selain itu, saya juga dapat melihat ia masih menjadi tarikan pelancong tidak kira dari Malaysia atau luar negara untuk membaca mengenai sejarah pembinaannya,” katanya.

Paling menarik perhatian Zarnizar ketika berada di Bandaraya Melaka ialah Masjid Selat Melaka yang terletak di Pulau Melaka dan berhampiran dengan Bandaraya Melaka.

 

PEMANDANGAN di Sungai Melaka pada waktu malam.
PEMANDANGAN di Sungai Melaka pada waktu malam.

 

Katanya, pembinaan Masjid Selat Melaka di tanah tambak kelihatan seakan-akan terapung apabila air laut mula naik.

“Pada hemat saya dari waktu senja sehingga ke lewat malam, Masjid Selat Melaka menawarkan pemandangan yang cukup memukau.

“Ketika tempoh senja, kita akan dapat melihat pemandangan matahari terbenam di sekitarnya. Justeru, kepada jurufoto seperti saya, pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk merakam memori berkenaan,” katanya.

Tambahnya lagi, apabila waktu mula gelap, Masjid Selat Melaka, makin menonjol apabila cahaya lampu berwarna melimpah di sekitarnya.

 

PEMANDANGAN Masjid Selat Melaka yang memukau pandangan.
PEMANDANGAN Masjid Selat Melaka yang memukau pandangan.

 

“Ketika itu juga banyak pelancong tempatan dan luar negara, saya lihat tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati keindahan Masjid Selat Melaka.

“Malah, saya juga cukup bangga apabila mendengar pelancong asing memuji keindahan seni bina Masjid Selat Melaka ketika menyaksikan keindahannya,” katanya.

Katanya, jika berkunjung ke Bandaraya Melaka, pastinya jangan lepaskan peluang untuk melihat dan menikmati dunia jual beli di Pasar Malam Jonker Street.

“Pasar Malam Jonker Street sememangnya mempunyai keunikan tersendiri terutama menjual makanan tempatan.

“Malah, sebagai pengunjung saya melihat Pasar Malam Jonker Street amat hidup dengan kesibukan orang ramai di lokasi berkenaan,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat