PM Lancar SEMy2030 Untuk Hala Tuju Nasional Yang Baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) yang menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia.

Menurut Perdana Menteri SEMy2030 dibangunkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan merangkumi lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif dalam memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya dapat dicapai.

Jelas Perdana Menteri lagi, kerajaan mahu perusahaan sosial terus diperkasa dan dimantapkan peranannya bagi mendepani cabaran dan perubahan luar jangka.

Selain itu bagi melonjakkan prestasi mereka ke tahap lebih tinggi seiring dengan keperluan dan tuntutan masyarakat serta alam sekitar.

“Kerajaan menyedari potensi dan peranan penting keusahawanan sosial dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara.

“Justeru SEMy2030 menggariskan lima objektif yang sejajar dengan aspirasi, strategi dan inisiatif yang ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Tumpuan Rangka Tindakan termasuklah membangunkan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk memastikan perusahaan sosial di Malaysia mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti selain membina kepercayaan rakyat dan sektor swasta,” katanya pada majlis pelancaran SEMy2030, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan geran pembiayaan kepada perusahaan sosial yang keseluruhannya berjumlah RM810,935.10 yang memberi manfaat membabitkan 490 peserta.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM156,300 daripada UDA Holdings Sdn Bhd; Bank Rakyat, SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad kepada empat perusahaan sosial terpilih.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, SEMy2030 menggariskan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran, jangkauan dan pembudayaan konsep keusahawanan sosial yang berdaya maju dan memberi impak positif kepada peningkatan kehidupan masyarakat.

Katanya, bagi memastikan perusahaan sosial mampu berkembang dan lebih berdaya saing, SEMy 2030 turut menggariskan strategi bersasar untuk meningkatkan keupayaan dan kompetensi perusahaan sosial.

“Perusahaan sosial hendaklah terus diperkasa dan dimantapkan peranannya bagi mendepani cabaran dan perubahan luar jangka, selain melonjakkan prestasi mereka ke tahap lebih tinggi seiring dengan keperluan dan tuntutan masyarakat serta alam sekitar.

“Usaha bersepadu akan diambil untuk memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyelarasan serta pemantauan dan pengukuran impak program pembangunan keusahawanan sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

“Ia adalah asas membangunkan sebuah ekosistem yang komprehensif dan kondusif dalam menyokong pertumbuhan keusahawanan sosial di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, SEMy2030 akan menyediakan latihan adaptasi teknologi dan pendigitalan yang lebih berstruktur, peluasan akses kepada pembiayaan dan sokongan kewangan serta penyediaan fasilitasi untuk akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, SEMy2030 turut menetapkan deskripsi baharu perusahaan yang lebih inklusif selaras dengan ciri perusahaan sosial di peringkat global.

“Di samping itu, KUSKOP akan melaksanakan semakan semula dan menambah baik kerangka pendaftaran dan akreditasi perusahaan sosial sedia ada supaya mendapatkan akses lebih luas terhadap bantuan dan peluang berkembang maju ke hadapan.

“Saya yakin bahawa keusahawanan sosial adalah pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan sosioekonomi dalam kalangan Keluarga Malaysia serta menjamin kemapanan alam sekitar.

Beliau berkata, sehubungan itu, semua pihak yang berkepentingan dalam pembangunan keusahawanan sosial terutamanya agensi awam dan swasta, pelabur impak sosial serta badan korporat diseru supaya memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan.

Katanya, beliau juga mengharapkan lebih ramai generasi muda terutama golongan belia serta graduan sebagai golongan pelapis, turut menggembleng idea dan tenaga bagi memperkasakan keusahawanan sosial di Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat