KKMM teliti aspek kebajikan artis veteran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia meneliti aspek kebajikan golongan artis veteran agar dapat diuruskan lebih teratur.

Menteri KKMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sedang memikirkan beberapa kaedah lebih baik berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat pengumuman.

“Saya berharap dapat melihat jalan lebih baik untuk golongan artis veteran ini. KKMM sedang memikirkan sesuatu dan akan mengumumkannya apabila tiba masa.

“Sekarang saya masih meninjau dan melihat beberapa kes tertentu. Saya berasakan, soal kebajikan artis veteran ini tidak boleh dibuat secara ‘adhoc’.

“Artis veteran aktif ketika muda dan mungkin memperlahankan aktiviti ketika sudah berusia, namun jika tiada punca rezeki lain, itu tentu bakal menimbulkan masalah.

“Jadi, kena ada kaedah lebih baik membantu golongan ini,” katanya kepada BH Online selepas menziarahi pelakon, Ahmad Jamil Shuib yang mengalami ‘minor strok’ di surau berdekatan kediamannya di Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, Perak.

 

Ahmad Jamil menderita penyakit ‘minor strok’ bersama keluarganya. - NSTP/L Manimaran
Ahmad Jamil menderita penyakit ‘minor strok’ bersama keluarganya. – NSTP/L Manimaran

 

Mengulas aspek sedang difikirkan, Annuar berkata, dia bertemu dengan golongan artis veteran bagi melihat perkara itu secara mendalam.

“Baru-baru ini, saya berjumpa dan meminta golongan artis veteran menganjurkan satu perbincangan untuk menampilkan cadangan bagaimana masalah kebajikan penggiat seni dapat diuruskan lebih teratur.

“Ini termasuk sebahagian pelakon yang tiada perlindungan insuran, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan bernaung di bawah persatuan profesional,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau mengesyorkan golongan artis veteran mewujudkan badan pengurusan profesional.

“Saya mengesyorkan artis veteran mewujudkan badan pengurusan profesional yang boleh urus skim bantuan lebih sistematik.

“Kalau semuanya hanya sambilan, jadi selama-lamanya berlakon dianggap sambilan. Ada pelakon sambilan, tetapi ada pelakon berlakon sejumlah filem dan jam tertentu boleh dikategorikan sebagai pelakon profesional.

“Saya rasa perlu ada kaedah lebih baik boleh menjamin jangka panjang,” katanya.

Mengulas soal PERKESO, Annuar berkata, pihaknya sudah berunding dengan Kementerian Sumber Manusia mengenai kaedah pencaruman.

“Kami sudah berunding dengan Kementerian Sumber Manusia. Ada kaedah yang membolehkan pelakon dapat membuat caruman kepada PERKESO untuk mendapat bantuan apabila keadaan memerlukan. Secara keseluruhannya, perlu kepada satu jalan penyelesaian yang lebih tuntas berhubung dengan kebajikan penggiat seni,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat