Duta Palestin hargai pendirian teguh Malaysia di pentas antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiada siapa boleh mempersoalkan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan Palestin, kata Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali, sambil menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara konsisten membangkitkan isu itu dengan lantang dan jelas di pentas antarabangsa.

Diplomat kanan itu yang memetik beberapa mesyuarat antarabangsa, berkata Perdana Menteri menyatakan pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin, termasuk di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak Pertama Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC), dan Sidang Kemuncak Tergempar Bersama Arab-Islam.

“Dan beliaulah (Perdana Menteri) yang bercakap dengan (Presiden Amerika Syarikat) Joe Biden dan mesejnya sangat jelas.

“Saya berulang kali mengatakan bahawa isu Palestin menyatukan semua rakyat Malaysia, walaupun mereka mempunyai perbezaan, tanpa mengira parti politik. Perkara yang berkaitan dengan Palestin, mereka semua bersatu. Dan inilah yang saya banggakan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai di Kedutaan Palestin, di sini pada Rabu.

Anwar sangat lantang menyuarakan perjuangan Palestin sejak konflik terbaru di Gaza meletus pada 7 Okt.

Beliau berkata walaupun masyarakat antarabangsa terus mengambil tindakan berat sebelah berhubung semua bentuk kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin, Malaysia tetap bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.

Perdana Menteri tidak berdiam diri, malah beliau terus bersuara mengenai isu itu di semua forum antarabangsa yang dihadirinya. Yang terbaru, semasa dialog tidak rasmi minggu Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan jamuan tengah hari yang turut dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan seluruh pemimpin ekonomi.

“Apa yang berlaku di Gaza jelas merupakan pengabaian tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku dan mengakibatkan malapetaka,” tegas Anwar.

“What’s happening in Gaza is clearly an abandonment of moral responsibility which allows massive destruction to happen and resulted in climate calamity.”

Walid menegaskan bahawa rakyat Palestin telah lama menjadi mangsa dwistandard masyarakat antarabangsa yang menyaksikan penderitaan harian mereka di bawah penjajahan dan pengepungan Israel, sebelum 7 Okt lagi.

Beliau berkata dunia telah memilih untuk bersimpati dengan Israel, menegaskan haknya untuk mempertahankan diri, tetapi menafikan hak rakyat Gaza untuk mempertahankan diri mereka walaupun tinggal di kawasan yang terkepung selama 16 tahun sejak 2007.

“Tarikh 7 Okt datang tanpa alasan, 2.3 juta rakyat Palestin telah hidup dalam kepungan di penjara terbuka selama 16 tahun dan 70 peratus daripada penduduk adalah pelarian di tanah mereka sendiri sejak 1948,” katanya.

Semenanjung Gaza dengan saiz kurang daripada 400 kilometer persegi juga merupakan kawasan paling padat penduduk di bumi.

Walid berkata menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Palestin pada awal Rabu, seramai 14,128 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan tentera penceroboh Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt, termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,500 wanita.

Selain itu, 218 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Tebing Barat.

Bukan sekadar perjuangan agama

Walid menegaskan kedua-dua rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa perlu memahami bahawa perjuangan Palestin tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui lensa agama. Sebaliknya, ia adalah perjuangan menentang pendudukan haram Israel dan kekejaman yang menjangkau lebih tujuh dekad.

Beliau menegaskan rakyat Palestin telah mengharungi perjuangan itu sejak 15 Mei 1948, berikutan penubuhan Israel melalui rangka kerja politik Zionisme.

“Israel diwujudkan dalam bencana kami (rakyat Palestin). Mereka menyambut 15 Mei sebagai hari kemerdekaan mereka dan itu adalah hari malapetaka kami, Hari Nakba bagi Palestin.

“Penderitaan kami bermula apabila mereka wujud, inilah yang mesti difahami oleh masyarakat antarabangsa,” katanya sambil menambah bahawa isu sebenar di sini ialah rakyat Palestin menjadi sasaran serangan Israel.

Rakyat Palestin di seluruh dunia

Walid berkata terdapat lebih 13 juta rakyat Palestin di seluruh dunia, termasuk 1.5 juta di Israel, 2.3 juta di Semenanjung Gaza, tiga juta di Tebing Barat yang diduduki dan 6.5 juta di diaspora Palestin.

Beliau berkata rakyat Palestin di Israel, walaupun memegang kewarganegaraan Israel, juga bergelut dengan diskriminasi kerana mereka dilayan sebagai warganegara kelas kedua atau ketiga.

Walaupun rakyat Palestin di Gaza telah hidup dalam kepungan sejak 2007, mereka yang tinggal di Tebing Barat juga menderita di bawah pergerakan terhad dan penindasan oleh Israel.

Beliau berkata diaspora Palestin di seluruh dunia terus memperjuangkan hak mereka untuk pulang ke tanah air dengan menyatakan bahawa setiap anggota kedutaan mempunyai kisah mereka sendiri.

“Bayangkan sebagai rakyat Malaysia, anda tinggal di luar negara dan tidak layak untuk kembali dan tinggal di Malaysia. Anda rakyat Malaysia, anda sepatutnya berhak untuk pulang bila-bila masa yang anda mahu. Sama dengan kami rakyat Palestin,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat