PUTRAJAYA — Melalui pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PMKS (SMEIPA), sebanyak 270 program telah dirancang untuk dilaksanakan dengan peruntukan kewangan yang berjumlah RM15.11 bilion untuk memanfaatkan 479,350 penerima.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua program tersebut telah dirancang melalui pelbagai Kementerian, Agensi dan Kerajaan Negeri.
“Melalui laporan yang sama, bilangan program dan perbelanjaan bagi program keusahawanan serta pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah secara purata sebanyak 191 program yang telah dilaksanakan setiap tahun dengan komitmen tahunan berjumlah RM9.6 billion.
“Malah, pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 15.48 bilion telah dibelanjakan ke atas 258 program keusahawanan dan pembangunan PMKS.
“Saya melihat pelaporan SMEIPA sedia ada perlu dimantapkan agar dapat dijadikan sebagai rujukan utama untuk digunakan sepenuhnya oleh kesemua pemegang taruh, khususnya Kementerian dan agensi yang berada di dalam ekosistem keusahawanan agar tidak berlaku lagi pertindihan pelaksanaan program-program PMKS di seluruh negara.
Bagi menambahbaik usaha penyelarasan program pembangunan usahawan, SME Corp,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS itu berkata, Malaysia turut melaksanakan Sistem Pendaftaran Status PMKS bagi memastikan program yang dilakukan adalah lebih bersasar kepada usahawan dan PMKS, seterusnya mengelakkan ketirisan.
“Mesyuarat bersetuju untuk Sistem Pendaftaran Status PMKS disepadukan bersama-sama sistem-sistem utama lain seperti seperti PADU, Pangkalan Data SSM dan GovTech MALAYSIA bagi meningkatkan sinergi antara Kementerian dan Agensi seterusnya menambahbaik sistem penyampaian Kerajaan, terutamanya dalam pembangunan keusahawanan.
“Tambahan itu, bagi memastikan usaha penyelarasan bagi ekosistem keusahawanan dan koordinasi program-program pembangunan usahawan dalam negara, mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bil 2 Tahun 2024 hari ini juga telah mengesahkan penambahan keanggotaan sedia ada bagi memperkukuh kerjasama antara Kementerian dalam memperkasa pembangunan PMKS di Malaysia,” katanya.
Jelasnya lagi, penambahan keanggotaan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai tambahan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Saya percaya melalui penglibatan KKDW dan MITI dalam keanggotaan SEK- MPUPK, membolehkan penjajaran dan koordinasi yang lebih bersepadu bagi semua program pembangunan usahawan dan PMKS khususnya bagi menembusi pasaran global dan meluaskan capaian sehingga kawasan luar bandar.
“Kementerian dan agensi Kerajaan disaran untuk sentiasa memastikan agenda pembangunan usahawan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu kerana tindakan ini amat penting bagi memastikan tiada lagi pertindihan program berlaku, mewujudkan ketelusan yang lebih baik dalam perkhidmatan Kerajaan dan mengurangkan pembaziran sumber Kerajaan,” katanya.