Menteri, pemimpin politik Malaysia zahir takziah kepada seluruh rakyat Iran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri dan pemimpin politik hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Republik Islam Iran, atas kehilangan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran Dr Hossein Amirabdollahian, serta anak kapal yang terlibat dalam nahas helikopter di barat laut Iran, pada Ahad.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantarannya di laman X berkata pemergian Raisi, pastinya amat dirasai khususnya dalam menonjolkan semangat kepimpinan bagi menggesa pemimpin negara-negara Islam, untuk mencapai keputusan tegas berhubung isu Palestin.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Takziah diucapkan kepada seluruh rakyat Republik Islam Iran atas pemergian Presiden Ebrahim Raisi,” katanya sambil menitipkan sekeping gambar ketika perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Raisi, semasa menghadiri mesyuarat luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada November 2023.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, turut berdukacita dengan perkhabaran Allahyarham Raisi bersama Hossein dan penumpang lain dalam nahas terbabit, hari ini.

“Kali terakhir bertemu rakan sejawat Dr Hossein Amirabdollahian, Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran semasa United Nations Security Council (UNSC) Ministerial-Level Open Debate di New York Januari lalu dan perbualan telefon bersama beliau pada hujung bulan April yang lalu.

“Allahyarham (Hossein) begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran di dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama. Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut berharap agar kesemua roh mangsa nahas berkenaan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Saya mewakili seluruh warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mendoakan semoga seluruh ahli keluarga mangsa dan rakyat Republik Islam Iran dapat bersabar dengan ujian yang dihadapi ini. Salam takziah kepada semua,” katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut merakamkan ucapan takziah dan menitipkan doa, serta ingatan tulus ikhlas daripada rakyat Malaysia sentiasa bersama-sama rakyat Republik Islam Iran dalam menempuh tempoh yang sukar ini.

Selain itu, Presiden Parti Islam Se-Malaysia Tan Sri Abdul Hadi Awang juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Raisi dan Hossein.

“Semoga Al-Marhum Ebrahim Raisi dan Hossein Amirabdollahian ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan hamba-Nya yang soleh,” katanya.

Helikopter yang membawa Raisi terhempas pada petang Ahad di kawasan Varzaqan, ketika beliau dalam penerbangan pulang bersama Hossein dan beberapa individu lain, selepas perasmian empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat