KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Malaysia menggesa negara anggota ASEAN meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan cuaca kering berterusan di selatan rantau ini yang menyebabkan peningkatan aktiviti titik panas dan risiko pencemaran jerebu merentas sempadan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata pemantauan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mendapati keadaan itu berisiko menjadi lebih meluas berikutan fenomena El Niño yang dijangka beransur menguat dalam beberapa bulan akan datang.
Walaupun kejadian kebakaran ketika ini masih terkawal dalam sempadan negara anggota masing-masing, Malaysia berpandangan risiko jerebu merentas sempadan memerlukan kesiapsiagaan dan kewaspadaan tinggi secara kolektif di peringkat serantau.
Pendirian Malaysia itu turut disampaikan menerusi utusan rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn pada 21 Ogos lalu.
Menurut kenyataan itu, Malaysia kekal komited terhadap aspirasi mewujudkan ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030 menerusi pelaksanaan berkesan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
“Pencemaran jerebu merentas sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan perlu ditangani secara kolektif menerusi tindakan pencegahan, kesiapsiagaan nasional dan pemantauan berterusan berteraskan prinsip Perjanjian AATHP,” menurut kenyataan itu.
Malaysia turut menekankan kepentingan intervensi awal, pertukaran maklumat yang tepat serta koordinasi erat antara negara anggota bagi mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih buruk.
Sehubungan itu, negara anggota ASEAN digesa meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko tinggi dan pengawasan titik panas selain memperketat penguatkuasaan terhadap larangan pembakaran terbuka.
Kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran juga perlu dipertingkat bagi memastikan sebarang kebakaran dapat dikawal sebelum merebak dan mencetuskan pencemaran jerebu merentas sempadan.
Pada masa sama, Malaysia mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat ASEAN selaku Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC) dalam penyebaran maklumat dan penyelarasan kesiapsiagaan antara negara anggota.
Malaysia yakin kerjasama dan tindakan proaktif semua negara anggota mampu memperkukuh ketahanan rantau ini dalam menghadapi cabaran iklim serta mencapai sasaran ASEAN yang mampan dan bebas jerebu menjelang 2030.


