SUNGKAI — Harimau Malaya betina, Yong Choh, yang ditangkap di Kampung Choh pada 20 Julai lalu, bakal dikembalikan ke habitat semula jadinya di kawasan Tasik Kenyir, Terengganu awal September ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Kurup, berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian mendapati Yong Choh berada dalam keadaan sihat, bertenaga dan mempunyai sifat agresif yang diperlukan untuk membolehkannya berdikari di habitat asal.

“Antara tujuan pusat rehabilitasi ini adalah seperti namanya, rehabilitasi. Sebaik-baiknya kita rehabilitasi untuk dikembalikan kepada habitatnya yang semula jadi.
“Kita pun kena pastikan keselamatan binatang itu sebelum kita melepaskannya kepada habitat. Untuk Yong Choh, kita mendapati keadaannya sihat, tenaga dia agak kuat dan dia mempunyai semangat serta sifat agresif yang kita yakin membolehkannya berdikari sekiranya dilepaskan ke habitat.
“Jadi kita merancang bahawa mungkin dalam awal bulan sembilan, kita akan melepaskan haiwan ini di kawasan Tasik Kenyir, Terengganu,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), di sini, hari ini.
Menurut Arthur, Yong Choh mempunyai kelebihan kerana berasal dari habitat semula jadi dan baru-baru ini ditangkap sebelum ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.
Beliau berkata keadaan itu menjadikan Yong Choh lebih berpotensi untuk menjalani proses rehabilitasi dan dikembalikan ke habitat asal berbanding haiwan yang telah terlalu lama bergantung kepada kehidupan di NWRC.
“Yong Choh ini memang berasal daripada kawasan habitat asal. Itulah sebab dia mempunyai ciri-ciri dan juga sifat yang mudah untuk kita lepaskan kembali kepada kawasan habitat. Kita perlu lihat kesesuaian setiap haiwan secara individu kerana bukan semua haiwan yang berada di pusat ini boleh terus dilepaskan.
“Apa yang penting ialah kita memastikan haiwan itu mampu berdikari, mampu mencari makanan sendiri dan mempunyai tingkah laku yang sesuai untuk hidup di habitat semula jadi. Kalau kita lepaskan tanpa penilaian yang teliti, kita bukan sahaja boleh membahayakan haiwan itu tetapi juga boleh menjejaskan keselamatan di kawasan habitat berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Arthur berkata Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan turut mencatatkan perkembangan positif menerusi Program Pembiakan Harimau Malaya Dalam Kurungan (MTBCP) yang dimulakan pada 2023.
Katanya, sejak program itu dimulakan, sebanyak 13 ekor anak Harimau Malaya telah dilahirkan, dengan sembilan daripadanya masih hidup dan terus berada dalam pemantauan pusat berkenaan.
“Berkaitan dengan Harimau Malaya, setakat ini program ini telah mula pada tahun 2023 dan kita telah berjaya melahirkan 13 ekor anak harimau dan sembilan daripada ekor anak harimau itu masih terus hidup. Pada tahun ini kita ada satu pencapaian yang agak luar biasa di mana terdapat kelahiran lima ekor anak harimau setakat 28 Julai melalui pasangan Meg Sang Tong dan Yoke Kuang.
“Mek Kahang dan Yeop Kinta telah berjaya melahirkan anak sebanyak dua kali dalam tahun yang sama. Satu kali pada bulan Januari tahun ini dan kali kedua adalah pada 28 Julai. Jadi ini merupakan satu tahun yang agak produktif untuk program pembiakan kita, walaupun kita masih perlu memantau perkembangan anak-anak harimau ini dengan rapi,” katanya.
Arthur berkata kejayaan program pembiakan itu penting dalam usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya selain membantu mengekalkan kepelbagaian genetik spesies berkenaan melalui pengurusan pembiakan yang terancang.
Beliau berkata pusat berkenaan juga berperanan menyediakan sumber individu bagi menyokong strategi konservasi Harimau Malaya serta memperkukuh kapasiti dan kepakaran tempatan dalam pengurusan serta pembiakan spesies tersebut dalam kurungan.
Pusat yang dikendalikan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia itu mula beroperasi pada 2018 dan menjadi antara pusat penting dalam usaha pemuliharaan hidupan liar terancam di negara ini.



