KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) didakwa masih gagal mengetengahkan isu yang mampu menyentuh emosi rakyat dan mendorong perubahan sokongan pengundi, sekali gus berdepan cabaran untuk mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik negara.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, parti itu dilihat terlalu bergantung kepada Datuk Seri Rafizi Ramli tanpa membawa isu yang benar-benar dapat menarik perhatian rakyat.
Menurutnya, pendekatan politik Bersama yang menekankan penentangan terhadap politik identiti juga belum cukup untuk meyakinkan pengundi supaya beralih menyokong parti berkenaan.
“Sebenarnya Bersama ketandusan isu yang boleh memikat emosi rakyat. Isu yang dibawa Bersama tidak melekat kepada emosi dan imaginasi rakyat untuk melakukan ‘swing’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Puad berkata, cabaran Bersama bukan sahaja terletak pada keupayaannya mendapatkan sokongan rakyat, malah kesukaran mencari rakan kerjasama politik sekiranya terus berpegang kepada pendekatan yang terlalu idealistik.
Beliau berpandangan, realiti politik Malaysia menyukarkan sesebuah parti baharu bergerak secara bersendirian, khususnya apabila parti yang berpotensi menjadi sekutu turut terlibat dalam politik identiti.
“Amat sukar untuk menjadi parti solo dalam konteks Malaysia. Kena cari rakan kongsi yang semuanya sudah terbabit dengan politik identiti.
“Kalau terlalu idealistik Bersama mungkin akan tutup kedai lebih awal sebelum tamat satu generasi,” katanya.
Kenyataan itu menyusul pendirian Bersama untuk terus menentang politik identiti yang didakwanya dibawa UMNO, PAS dan DAP meskipun gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.
Parti berkenaan turut kehilangan wang deposit di 15 daripada 16 kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya tersebut.
Sebelum ini, Rafizi dilaporkan menegaskan bahawa usaha membangunkan Bersama sebagai wadah menentang politik identiti perlu dinilai dalam tempoh satu generasi dan bukannya berdasarkan keputusan pilihan raya semata-mata.
Bagaimanapun, Puad turut mempersoalkan perbandingan yang dibuat Rafizi mengenai sejarah awal penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya dakwaan bahawa parti itu bermula tanpa sebarang kekuatan politik.
“Rafizi mendabik dada, kononnya dia antara yang terawal menghidupkan PKR. Ia bermula dengan kosong.
“Tapi dia lupa, PKR didukung ramai tokoh bekas pemimpin yang ada pengikut setia. Ketika itu PKR juga bergabung dengan DAP untuk menapak naik,” katanya.
Pertikaian itu memperlihatkan perbezaan pandangan antara Rafizi yang mahu menilai perkembangan Bersama dalam jangka panjang dengan Puad yang mempersoalkan pendekatan parti berkenaan dalam mendapatkan sokongan pengundi serta membina kerjasama politik.
Bersama sebelum ini menegaskan komitmennya untuk meneruskan perjuangan menentang politik identiti walaupun tidak memperoleh sebarang kerusi pada PRN Melaka.



