KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkongsi kekesalan apabila tetap dianggap kafir dan pengkhianat Islam meskipun sudah menyalurkan lebih RM1.2 juta kepada masjid dan surau di kawasan Parlimennya hanya kerana beliau pemimpin DAP.
Pun begitu kesedihan Syerleena sedikit reda apabila dinasihati seorang tokoh agama bahawa walaupun dibenci namun amal baik Ahli Parlimen DAP itu akan menjadi saham akhirat untuknya.
“𝐻𝑎𝑛𝑔 𝑘𝑎𝑓𝑖𝑟! dan k𝑎𝑚𝑢 𝑝𝑒𝑛𝑔𝑘ℎ𝑖𝑎𝑛𝑎𝑡 𝐼𝑠𝑙𝑎𝑚!” Dua ayat tohmahan ini kerap dilemparkan ke atas saya hanya kerana saya merupakan ahli Parlimen Melayu-Islam DAP.
“Meskipun lebih RM 1.2 juta telah disalurkan kepada ‘kesemua’ masjid dan surau yang terdapat di parlimen Bukit Bendera untuk pelbagai kegiatan, daripada aktiviti keagamaan sehinggalah kepada pembinaan surau, namun jawapan mereka tetap sama; “𝐾𝑎𝑚𝑢 𝑘𝑎𝑓𝑖𝑟!”; “𝐾𝑎𝑚𝑢 𝑝𝑒𝑛𝑔𝑘ℎ𝑖𝑎𝑛𝑎𝑡 𝐼𝑠𝑙𝑎𝑚!”
“Pada awalnya, saya rasa sedih dan tertekan yang amat, saya mengadu kesedihan yang terbuku di hati pada seorang tokoh agama yang sangat dihormati masyarakat; jawapannya sangat menusuk kalbu. Katanya; “Syerleena, mereka tidak akan sama sekali meredhai kamu meskipun kamu memberi peruntukkan sebanyak RM 1 bilion bagi semua masjid dan surau di seluruh negara kerana alasannya satu, kamu tidak bersama parti mereka.”
“Kamu buatlah apa kebaikan sekalipun, mereka tetap tidak akan berterima kasih apatah lagi mendoakan kamu. Cuma kamu beruntung satu perkara.” “Apakah ia?” Saya bertanya. “Segala bantuan yang telah kamu berikan pada pada umat Islam di Parlimen kamu, Insya-Allah ia akan menjadi saham akhirat kamu kelak. Insya-Allah, besar pahala mu Syerleena.”
“Baik pulih bumbung surau, naik taraf tandas masjid hatta memberi makan minum pada jemaah masjid, itu semua merupakan amal kebaikan kamu yang Insya-Allah akan menguntungkan kamu di akhirat kelak,” kongsinya di Facebook.
Menurut Syerleena, penjelasan tokoh agama itu benar-benar memberi semangat baharu kepadanya.
“Perasaan sedih membaca cacian, makian dan pengkafiran dari golongan jahil dan ekstremis politik ini tidak lagi menyebabkan hati saya terluka sebaliknya saya terus menerus mengucapkan; “Alhamdulillah, semoga ia menjadi ganjaran aku di akhirat kelak.”
“Semoga Allah menerima amal ibadahku dan semoga Allah memberi hidayah kepada para pencela dan pentohmah untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.



